Menteri Agama Diminta Jangan Jadikan TH Untuk Kejar Populariti


KUALA LUMPUR, 18 Feb – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menzahirkan kekecewaan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kepentingan umat Islam khususnya bagi bakal jemaah haji.

Menurut beliau perkara ini harus diambil berat oleh Menteri Agama untuk merealisasikan impian dan harapan bakal jemaah haji dan bukannya menggunakan Tabung Haji (TH) untuk mencari populariti dan menekan jemaah haji.

“Saya minta Mujahid agar jagalah TH. Jemaah haji perlu dijadikan keutamaan dalam pentadbiran beliau. Janganlah menekan jemaah haji hanya kerana ingin menjadi popular dimata non-muslim dan beliau harus ingat agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan,” katanya ketika dihubungi UMNO-Online, hari ini.

Jelas Armand Azha kemudahan yang diberikan kepada bakal haji termasuk jemaah rayuan dan pengiring hanya perlu membayar RM9,980 sahaja untuk mengerjakan ibadah haji buat kali pertama, dan jumlah itu tidak pernah berubah sejak 2009.

“Saya mengesa agar pihak TH dan Menteri mencari jalan penyelesaian yang terbaik buat para bakal jemaah haji,” ujarnya.

Sebelum ini, Mujahid dilapor berkata pemberian subsidi kepada jemaah haji yang berjaya dalam rayuan dan mana-mana individu menjadi pengiring mahram bagi mengerjakan ibadah itu tahun ini dibatalkan.

Setelah pelbagai kecaman dibuat oleh pelbagai pihak, beliau kemudian memaklumkan bahawa tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan berhubung dasar baharu tanpa subsidi bagi jemaah haji yang berjaya dalam rayuan mahupun individu yang mengiringi mahram untuk menunaikan ibadah itu lebih awal daripada tahun peruntukan.

Semalam pula, beliau dilapor berkata isu pemotongan subsidi haji bagi jemaah yang berjaya dalam rayuan tidak timbul kerana proses mendapat surat untuk mereka yang menunaikan haji mengikut giliran masih belum selesai selain mendakwa terdapat pihak yang sengaja mengambil kesempatan dengan memanjangkan isu berkenaan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.