Najib Dah Turun Semenyih, Azmin Sempat Kejar Tak?

SAYA pergi Tesco Semenyih beli barang dapur saja. Ini kenapa semua ikut saya?” sapa mesra Najib Razak dalam hantaran di Facebooknya.

Aura bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang menggunakan singkatan nama Najib Razak dalam medium media sosialnya semakin melonjak naik di mata rakyat pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) terutama ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini dengan ‘tagline’nya #MaluApaBossku.

Semuanya gara-gara rakyat semakin sedar kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah sebuah kerajaan yang gagal, bukan sahaja kebejatan idea dasar-dasar baharu yang menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat, sering bersikap ‘U-Turn’ dalam keputusan tetapi tertegaknya mereka juga dengan fitnah dan janji-janji palsu.

Malahan hingga ke kelayakan akademik menteri kabinetnya turut palsu.

Kerana itulah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ‘jaki’ melihat kepopularitian Najib hingga terpaksa menyindir Najib sebagai ‘pencuriku’ bukan ‘bossku’.

Berucap ketika melancarkan bilik gerakan Wanita PH bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Azmin dengan bongkaknya turut mencabar Najib supaya turun berkempen sebagaimana yang dilakukannya di Cameron Highlands kerana katanya orang Melayu Semenyih tidak sama seperti di tanah tinggi itu.

“Orang Melayu di Semenyih tidak sama seperti Cameron Highlands. Mereka bukan Melayu pekan. Sebab itu, saya nak tengok ‘bossku’ datang ke tidak,” cabar Azmin kepada Najib.

Dan ‘kebetulan’ sebagaimana ‘kebetulan’ menteri kabinet berbondong-bondong turun ke Semenyih pra-kempen PRK kawasan tersebut, tidak sampai 24 jam cabaran Azmin, Najib turun ke Tesco Semenyih.

Dapat dilihat sehingga kini, video Najib ‘walkabout’ di Tesco Semenyih yang disiarkan secara ‘live’ di facebooknya telah disaksikan oleh ratusan ribu netizen, menghampiri 750 ribu tontonan dengan lebih 8 ribu perkongsian!

Jelas juga dapat dilihat dalam video tersebut bukan ratusan rakyat yang hadir sebagaimana laporan media perdana tetapi ribuan rakyat yang teruja dengan kehadiran Najib itu dan dimeriahkan dengan laungan ‘Bossku’.

Malangnya kelibat Azmin tidak pula kelihatan… kata nak kejar Najib?

Ketibaan Najib yang disambut meriah oleh ribuan rakyat yang hadir tanpa paksaan, bukan sebagaimana Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad datang menaiki helikopter ke Felda Sungai Koyan semasa kempen PRK Cameron Highlands sehinggakan habis semua Orang Asli dikerah hadir dengan bas yang disewa khas bagi memenuhi khemah.

Jika diperhatikan betapa sesaknya keadaan di Tesco Semenyih ekoran orang ramai yang hadir bukan sahaja mengerumuni Najib malahan masing-masing tidak melepaskan peluang berswafoto dengannya, maka benarlah jawapan balasnya kepada Azmin: “Saya pencuri hati rakyat.” – Media UMNO