Presiden Perkenal Lima Formula Perkukuh Kembali UMNO


SG. SIPUT, 25 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperkenalkan lima formula yang harus diikuti oleh semua ahli UMNO untuk memastikan parti kembali kukuh.

Jelas beliau, lima formula itu adalah menghentikan perbezaan pendapat, turun ke bawah memenangi dan mengambil hati rakyat, memantapkan kesepaduan, susun semula jentera dan pastikan calon pilihan raya adalah ‘capable’, ‘acceptable’ dan ‘winnable’.

“Untuk kukuhkan parti kita mesti letak noktah untuk perbedaan pendapat. Kita kena kukuhkan akar umbi, tarik bangsa India, Cina termasuk orang asli untuk sokong UMNO.

“Kalau kita tidak bersatu padu, rancangan hanya akan tinggal atas kertas. Bagi elakkan keadaan ini, saya dan rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi turun ke negeri-negeri sebagai satu pasukan demi kukuhkan UMNO.

“Kita menang sebagai ADUN dan Ahli Parlimen bukan kerana kekuatan peribadi tapi kerana UMNO dan jentera yang kuat. Jangan bila sudah jadi ADUN dan Ahli Parlimen, ada ‘kedai dalam kedai'” ujar beliau ketika berucap dalam program Jelajah Presiden bersama saf kepimpinan peringkat negeri Perak.

Jelas Zahid, walaupun ada pihak yang mahu melihat UMNO dibubarkan namun perkara itu tidak akan terjadi sama sekali.

“Saya sudah bertemu dengan orang nombor satu di negara ini… saya juga sudah bawa timbalan dan naib presiden. Saya seolah-olah diarah untuk bubarkan UMNO dan sertai parti mereka.

“Tapi jangan harap kita akan lompat parti… jangan harap saya bubarkan UMNO kerana saya tidak mahu muka saya diludah… saya tidak mahu kubur saya digenangi najis kerana bubarkan UMNO.

“Demi Islam, UMNO dan Melayu… saya tidak redha bubarkan UMNO kerana saya yakin tiga juta ahli UMNO tidak rela parti ini dibubarkan,” tambah beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.