Titah Pemangku Sultan Perkukuh Agenda Pembangunan,Kesejahteraan Rakyat

KUALA LUMPUR, 21 Jun – UMNO Johor menjunjung kasih dan merafak sembah atas titah serta pandangan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor dalam sesi Podcast Bual Santai Orang Muda Johor yang menyentuh pelbagai isu berkaitan pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat dan masa depan Johor.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata titah tersebut mencerminkan keprihatinan berterusan Institusi Diraja Johor terhadap keperluan rakyat serta kemajuan negeri yang sentiasa menjadi keutamaan.

Menurut beliau UMNO Johor berpandangan bahawa perkara yang dibangkitkan berkaitan keperluan mempercepatkan pembangunan, memperkukuh autonomi pelaksanaan serta mengurangkan birokrasi yang melambatkan projek-projek rakyat wajar diberi perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara, Johor berhak menerima perhatian dan sokongan yang setimpal bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

“Sehubungan itu, UMNO Johor menggesa Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar mendengar suara dan keperluan Johor serta menyegerakan kelulusan serta pelaksanaan projek-projek penting yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Isu kemudahan kesihatan, pendidikan, infrastruktur, jaringan jalan raya dan pelbagai projek strategik tidak seharusnya terus berdepan kelewatan yang akhirnya memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata beliau lagi titah Pemangku Sultan Johor juga membuktikan bahawa Institusi Diraja Johor sentiasa mengambil maklum perkembangan pentadbiran negeri serta cabaran yang dihadapi rakyat di peringkat akar umbi.

Tambahnya hubungan erat antara Istana Johor, pentadbiran negeri dan rakyat merupakan kekuatan utama yang menjadi asas kestabilan serta kemajuan Johor sejak sekian lama.

“Demi kepentingan Johor, hubungan ini sentiasa kukuh dan berpisah tiada. Pada masa yang sama, UMNO Johor bersetuju dengan penegasan bahawa kepimpinan yang berkesan mesti berteraskan pelaksanaan dan penyelesaian, bukannya retorik semata-mata.

“Rakyat menilai kejayaan sesebuah kerajaan melalui hasil yang dapat dirasai, bukannya janji yang tidak diterjemahkan kepada tindakan. Keutamaan mesti terus diberikan kepada penyelesaian masalah, pemantauan projek serta penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.

“Akhir sekali, UMNO Johor ingin menegaskan bahawa dalam berpolitik, Johor mempunyai acuan dan caranya yang tersendiri. Budaya politik Johor sentiasa meletakkan kepentingan negeri, kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat mengatasi polemik yang tidak membawa manfaat.

“Semoga semangat yang dizahirkan melalui titah Pemangku Sultan Johor terus menjadi panduan kepada semua pihak dalam memacu Johor ke arah masa depan yang lebih maju dan sejahtera,” ujarnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO