Wanita UMNO Segamat Perkukuh Jentera Hadapi PRN

SEGAMAT, 20 Jun – Wanita UMNO Bahagian Segamat terus memperkemaskan gerak kerja dan memperkukuh kesiapsiagaan jentera apabila mengadakan perjumpaan khas melibatkan pegawai serta kepimpinan wanita di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal menjelang.

Naib Ketua Wanita UMNO Johor merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata, pertemuan tersebut menghimpunkan Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Bahagian, Pengerusi Portfolio Barisan Nasional (BN) Parlimen Segamat, Ketua-Ketua Wanita Cawangan serta Ketua JR PDM bagi menyelaras gerak kerja dan strategi yang akan dilaksanakan di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, perjumpaan itu menjadi platform penting untuk memastikan setiap anggota jentera memahami peranan masing-masing serta bergerak secara lebih tersusun, bersepadu dan berkesan dalam mendepani cabaran politik semasa.

“Persediaan awal amat penting bagi memastikan kekuatan jentera wanita sentiasa berada pada tahap terbaik. Kesepakatan, disiplin dan komitmen seluruh pasukan akan menjadi pemangkin kepada kejayaan perjuangan parti,” katanya.

Turut hadir menyampaikan amanat ialah Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Zahari Sarip yang menekankan kepentingan kerjasama erat, kesungguhan serta kesiapsiagaan seluruh jentera wanita sebagai tunjang kekuatan parti di peringkat akar umbi.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemenangan tidak datang secara mudah, sebaliknya perlu dibina melalui gerak kerja yang konsisten, pengorbanan masa, kesetiaan kepada perjuangan serta kesatuan hati dalam kalangan ahli dan pendukung parti.

Dalam pada itu, Norshida berkata semangat yang ditunjukkan oleh kepimpinan dan jentera wanita Segamat membuktikan bahawa sayap wanita kekal menjadi antara aset terpenting UMNO dalam mendekati rakyat dan memperkukuhkan sokongan terhadap parti.

“Apabila wanita bergerak seiring, jentera menjadi kuat. Apabila jentera bersatu hati, kemenangan menjadi lebih dekat,” ujarnya.

Beliau yakin dengan semangat kebersamaan yang tinggi serta usaha berterusan daripada seluruh jentera, Wanita UMNO Segamat akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan parti kekal relevan dan mendapat kepercayaan rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO