Tahniah, Terima Kasih Veteran UMNO Terus Istiqamah Dalam Perjuangan Parti

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah Datuk Fairul Nizam Roslan mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan dan seluruh ahli Veteran UMNO yang terus istiqamah mempertahankan perjuangan parti.

Kata Fairul Nizam yang juga EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka, ia menjadi sumber pengalaman dan inspirasi kepada generasi pelapis.

“Terima kasih atas jasa, pengorbanan dan kesetiaan yang telah dicurahkan sejak sekian lama demi agama, bangsa dan tanah air.

“Semoga Veteran UMNO terus menjadi tunjang kekuatan parti, menyatukan saf perjuangan dan membakar semangat generasi baharu untuk meneruskan legasi perjuangan UMNO,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan itu dalam satu catatan di Facebook.

Fairul Nizam bersyukur dapat merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Veteran UMNO Bahagian Alor Gajah 2026, petang tadi, yang turut dihadiri barisan kepimpinan UMNO bahagian.

Terdahulu dalam satu status di platform media sosial yang sama, Fairul Nizam pada pagi tadi hadir bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah, barisan kepimpinan Parlimen Alor Gajah serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek dalam Program Ziarah Semarak Kasih Gadek Prihatin bagi menyantuni masyarakat sekitar DUN Gadek.

Menurutnya, program itu menghimpunkan Datuk Senator Dr. Mustafa Musa, Datuk VP Shanmugam, Datuk Zahari Abd Kalil serta Datuk Ngwe Hee Sem untuk turun padang menziarahi 45 buah rumah penerima di sekitar DUN Gadek.

“Melalui program ini, kami berpeluang menyantuni, bertanya khabar dan mendengar sendiri luahan serta keperluan masyarakat yang memerlukan perhatian.

“Setiap kunjungan membawa seribu makna, mengingatkan kita bahawa nilai kasih sayang, keprihatinan dan kebersamaan adalah asas kepada sebuah masyarakat yang sejahtera,” katanya.

Seterusnya, Fairul Nizam merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak JKM Alor Gajah, pihak Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Kawasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) serta semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program itu.

“Keikhlasan dan komitmen yang dicurahkan menjadi bukti bahawa semangat prihatin dan kebersamaan masih utuh dalam membantu mereka yang memerlukan.

“Semoga segala sumbangan dan usaha yang disalurkan dapat memberikan sedikit kelegaan kepada para penerima. Insya-Allah, selagi diberi amanah, kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO