JR Digital Perkasa Gerak Kerja Wanita UMNO Negeri Sembilan Hadapi PRN

SEREMBAN, 21 Jun – Wanita UMNO Negeri Sembilan terus memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) menerusi pemerkasaan Jawatankuasa JR Digital di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, gerak kerja JR Digital kini telah dimulakan di semua DUN sebagai langkah memperkasakan penggunaan teknologi dan komunikasi digital dalam memperluaskan capaian maklumat kepada rakyat.

Menurut beliau, perkembangan teknologi perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar jentera wanita lebih pantas, tersusun dan berkesan dalam menyampaikan dasar, pencapaian serta aspirasi parti kepada masyarakat.

“Teknologi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan dalam gerak kerja politik masa kini. Wanita UMNO perlu menguasai platform digital supaya maklumat yang tepat dapat disampaikan dengan lebih cepat dan berkesan kepada rakyat,” katanya.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh berkata demikian ketika berucap dalam program JR Digital, di sini semalam.

Bibi Sharliza turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli JR Digital yang komited melaksanakan tugas serta terus memperkukuhkan pasukan digital di peringkat DUN.

“Saya menghargai penglibatan dan komitmen semua ahli JR Digital yang sentiasa bersedia menyumbang idea, tenaga dan kepakaran. Semangat kerjasama ini menjadi asas penting dalam memantapkan jentera Wanita UMNO Negeri Sembilan,” ujarnya.

Beliau yakin pemerkasaan komunikasi digital akan menjadi antara faktor penting dalam memperkukuhkan gerak kerja akar umbi, sekali gus membantu memastikan mesej parti sampai kepada setiap lapisan masyarakat.

Katanya lagi, Wanita UMNO akan terus menjadi penggerak utama dalam usaha memastikan kemenangan Barisan Nasional pada PRN Negeri Sembilan melalui gerak kerja yang tersusun, inklusif dan selari dengan perkembangan teknologi semasa.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah. Datuk Ismail Lassim dan Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob dan kepimpinan Wanita serta jentera JR setempat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO