Ahmad Zahid Sahkan UMNO Sertai Himpunan Ummah 8 Dis Ini

SG. SIPUT, 25 Nov – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan UMNO akan tetap turut serta dalam perhimpunan bantahan retifikasi ICERD pada 8 Disember ini.

Jelas beliau, seluruh 191 bahagian UMNO akan menghantar peserta bagi menjayakan himpunan tersebut.

“Untuk 8 Disember ini saya sahkan UMNO akan terus bagi dokongan kepada Ummah yang jadi penganjur. Pas sudah nyatakan akan turut serta sebagai tanda kesyukuran kerajaan akhirnya batalkan ratifikasi ICERD dan UMNO sebagai tanda terima kasih

“Tapi sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, saya nak ingatkan agar jangan buat sebarang kekecauan atau rusuhan. Ini adalah salah satu syarat dalam akta perhimpunan aman,” jelas beliau kepada media selepas menyertai program jelajah Presiden bersama saf kepimpinan peringkat negeri Perak.

Dalam ucapannya pula Ahmad Zahid berkata, perjuangan ummah perlu diberi keutamaan agar tidak ada mana-mana pihak yang berani untuk mencabar orang Islam.

“Perkara dalam Perlembagaan jangan pernah dipertikaikan, agama Islam sebagai agama rasmi  jangan sesiapa cuba ganggu-gugat.

“…Kedudukan Raja Melayu, bahasa kebangsaan jangan pernah usik… kita tidak minta lebih, kita hanya pertahankan,” jelas beliau lagi. –
MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.