“Kita Tetap Berhimpun 8 Disember, Ucap Terima Kasih Kepada Kerajaan” – Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Tertinggi UMNO mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membuat keputusan untuk tidak meratifikasikan ICERD ekoran tentangan orang Melayu di seluruh negara yang merentasi sempadan fahaman politik.

Menurut beliau, justeru untuk menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan, maka perhimpunan pada 8 Disember ini akan tetap diteruskan.

“Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membuat keputusan untuk tidak meratifikasikan ICERD ekoran bantahan besar-besaran yang dibuat oleh orang Melayu.

“Maka untuk menyatakan rasa terima kasih itu, maka saya seru agar kita semua berhimpun pada 8 Disember ini, mungkin dengan jumlah yang lebih besar lagi untuk menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam program Jelajah Presiden bersama kepimpinan dan ahli UMNO Wilayah di PWTC di sini hari ini.

Beliau seterusnya mengingatkan pihak-pihak tertentu agar tidak terus cuba untuk mengusik-usik hati umat Islam dan orang Melayu.

“Saya tidak mengajak orang Melayu untuk menyerang orang Cina, orang India atau mana-mana kaum lain di negara ini.

“Apa yang saya tegaskan ialah, kita rakyat Malaysia mestilah hidup secara harmoni.

“Tetapi tolong jangan kurang ajar, hormat orang Islam, hormat orang Melayu. Kamu dengan agama kamu, kami dengan agama kami.

“Untuk kita menghormati agama lain, orang lain juga mesti menghormati agama Islam. Perkara 3 (1) dalam perlembagaan negara menyebutkan Islam sebagai agama persekutuan. Noktah.” tegasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.