Selain ICERD, ICCPR Juga Tidak Wajar Diratifikasi


KUALA LUMPUR, 23 Nov – Akhirnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akur kepada kehendak rakyat yang mendesak agar ICERD tidak diratifikasikan kerana jelas membelakangi kontrak sosial dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Demikian kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memaklumkan bahawa memang sejak dari awal Pemuda UMNO menegaskan tiada keperluan untuk Kerajaan mencetuskan suasana tegang di kalangan rakyat apabila terus angkuh mahu meratifikasi konvensyen antarabangsa yang jelas beberapa peruntukannya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Pemuda UMNO ingin mengingatkan bahawa suasana aman, harmoni dan stabil yang telah dikecapi oleh negara yang berbilang kaum dan agama sejak 61 tahun merdeka tidak harus digadaikan hanya kerana hendak memuaskan hati segelintir pihak yang baru mendapat kuasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, Pemuda UMNO tetap mendesak agar Kerajaan memberikan jaminan untuk lebih berhati-hati sekiranya wujud sebarang desakan lain di masa hadapan untuk meratifikasi lima lagi Konvensyen Antarabangsa di bawah instrumen Hak Asasi Manusia PBB yang perlu diperhalusi dan melalui proses mendapatkan pandangan awam.

“Bagi Pemuda UMNO, secara khususnya ICCPR atau Konvensyen Antarabangsa mengenai Hak Politik dan Sivil adalah antara konvensyen yang tidak wajar diratifikasi kerana turut mempunyai bahagian yang bertentangan dengan sistem perundangan dan kedaulatan negara.”

Katanya, Perkara 18 Konvensyen ini, yang dibaca bersama Perkara 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 sebagai contoh, menggariskan bahawa negara – negara yang menyertai dan mengesahkannya haruslah mengangkat hak kebebasan untuk beragama. Hak-hak ini termasuklah hak untuk murtad, menukar agama tanpa sekatan termasuklah untuk menjadi atheist.

“ICCPR juga akan membolehkan ajaran-ajaran sesat dan menyimpang daripada orientasi Ahli Sunnah wal Jamaah yang diamalkan di negara ini seperti Syiah, Qadiani dan lain-lain dijamin dan diberikan hak untuk diamal dan disebarkan tanpa sekatan dan kawalan.”

Justeru tegasnya, Pemuda UMNO dengan tegas mendesak agar jaminan kerajaan bukan sahaja untuk tidak meratifikasi ICERD tetapi konvensyen-konvensyen antarabangsa yang lain khususnya ICCPR disamping itu memastikan Malaysia meneruskan usaha menghapuskan diskriminasi menurut acuan Perlembagaan, sejarah dan nilai-nilai budaya masyarakat berbilang kaum yang telah lama disepakati bersama. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.