Keputusan JPM Tidak Ikut Formaliti Pentadbiran, Perlu Disah Melalui Tandatangan PM


KUALA LUMPUR, 23 Nov – Kenyataan media Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengenai keputusan kerajaan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak mengikut formaliti pentadbiran, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kerana katanya, ia hanya boleh disahkan melalui tandatangan Perdana Menteri (PM) sendiri, yang kemudiannya membawa usul itu ke Parlimen agar direkodkan dalam hansard rasmi.

“Pendekatan ini tidak boleh diterima dan tidak menjamin ianya akan berubah bila-bila masa sahaja, apatah lagi ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya yang juga ketua pembangkang di Parlimen dalam kenyataan hari ini.

Namun begitu katanya, pembangkang berterima kasih kepada keputusan itu dan percaya ia ada kaitan dengan Perhimpunan Kebangkitan Ummah dalam menentang ICERD di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

“Ia juga dipercayai ada hubungan dengan langkah politik Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Kecil DUN Rantau tidak lama lagi.”

Sehubungan itu, katanya, pembangkang menggesa kerajaan mengikut prosedur tetap bagi mengumumkan keputusan berkaitan dasar luar negara ini.

“Sehingga ianya dimasukkan ke dalam hansard Parlimen, kami sukar untuk mempercayai keikhlasan kerajaan dalam membuat keputusannya,” tegasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Hari ini Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan media bahawa kerajaan menegaskan tidak akan meratifikasi ICERD sebaliknya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. – MediaUMNO