ICERD: Keputusan Kabinet PH Dibimbangi Bersifat Sementara, Perlu Pendirian Rasmi Di Parlimen

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Keputusan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak akan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dialu alukan, namun keputusan Kabinet Kerajaan PH ini mesti diperkukuhkan dengan membuat pendirian rasmi dalam Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, ini penting supaya usaha meratifikasikan ICERD tidak diteruskan pada masa akan datang.

“Ini kerana kita bimbang keputusan Kabinet PH ini hanya bersifat sementara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, katanya yang juga Ahli Parlimen Lenggong, isu ICERD ini semestinya menjadi pengajaran besar kepada Kerajaan PH terutama pimpinan parti parti baik PKR, Dap atau yang lain, agar berhati-hati ketika mencadangkan sesuatu perkara terutama berkaitan perkara sensitif apa lagi yang membelakangkan hal berkaitan Kontrak Sosial terutama Perlembagaan Persekutuan.

“Jangan sesekali menyentuh perkara berkaitan kepentingan Islam, Institusi Raja, Kepentingan Melayu dan Bumiputra.

“Apabila disebut perkara ini bukan bermakna ia mengenepikan kepentingan agama dan kaum lain. Perkara berkenaan dipertahan kerana ianya telah lama dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pada saya adalah lebih baik Kerajaan PH menumpukan usaha kepada pembelaan rakyat yang ketika ini tertekan dengan pelbagai isu terutama berkaitan kenaikan kos sarahidup dan kejatuhan harga komoditi yang memberikan kesan kepada petani, nelayan dan pekebun kecil. Semua isu ini sangat jelas tidak ditanggani dengan serius oleh Kerajaan PH.”

Justeru, katanya, UMNO akan terus membela apa juga isu yang melibatkan kepentingan Islam, Melayu, Bumiputra serta kepentingan kaum kaum lain dalam negara ini.

“UMNO akan terus menjadi jurubicara rakyat bagi mempertahan kepentingan rakyat yang tidak dibela oleh Kerajaan PH.”

Jelasnya, berkaitan Perhimpunan Aman Ummah 8 Disember 2018 ini, tunggulah keputusan rasmi pimpinan tertinggi UMNO, PAS dan NGO nanti.

“Namun perjuangan UMNO tidak terhenti hanya sekadar isu ICERD sahaja. Penderitaan yang rakyat hadapi ketika ini dengan pelbagai isu yang ditimbulkan oleh Kerajaan PH akan terus UMNO lakukan pembelaan.”

Sehubungan itu beliau merasakan himpunan tersebut perlu diteruskan kerana banyak lagi isu yang dihadapi rakyat ketika ini dan perhimpunan itu boleh bertukar cara kerana perhimpunan yang bertujuan membela rakyat. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.