PH Tak Pernah Janji SST Turunkan Harga Barang? – Najib


KUALA LUMPUR, 15 Okt – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih bersikap mempermain-mainkan janji kepada rakyat.

Ahli Parlimen Pekan itu merujuk kepada situasi kecoh di Dewan Rakyat pagi tadi apabila Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa bahawa PH tidak pernah berjanji cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan menurunkan harga barang.

“Kalau tidak akan turunkan harga barang, mengapa bermati-matian mahu mansuhkan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) yang lebih telus dan pulang kepada SST yang banyak kelemahan?” soal Najib dalam entri terbaharu di facebooknya hari ini.

Sesi persidangan Parlimen Mesyuarat Kedua bermula hari ini hingga 11 Disember nanti.

Bidas Najib lagi, sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), beribu-ribu orang keluar ke jalan raya, beratus ceramah dan propaganda mengatakan pemansuhan GST serta kembali kepada cukai SST akan menurunkan harga barang.

“Kini tidak pula. Lebih parah lagi ialah PH dakwa mereka tidak pernah berjanji demikian,” tegasnya.

Dalam entri sebelumnya, Najib yang turut hadir tekad akan membawa suara rakyat supaya didengari oleh kerajaan PH yang langsung tidak membela kebajikan rakyat dan hanya memikirkan keselesaan diri mereka sahaja.

Untuk rekod, pada sesi persidangan Dewan Rakyat yang lepas, ahli Parlimen PH Damansara Tony Pua yang juga merupakan Setiausaha Politik Menteri Kewangan di dalam perbahasannya berkata harga barangan akan lebih murah apabila SST dilaksanakan semula. – Media UMNO