TEKAD 16 Jadi Kerangka Kesiapsiagaan UMNO Menuju PRU16
KULAI — TEKAD 16 perlu diterjemahkan sebagai kerangka kesiapsiagaan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dengan penekanan kepada pengukuhan parti, penyatuan saf serta usaha mendekati rakyat secara lebih berkesan.
Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata lima ikhtiar utama yang digariskan menerusi TEKAD 16 oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir Sabtu lalu perlu diterjemahkan melalui gerak kerja berterusan di peringkat akar umbi dan bukan sekadar menjadi slogan politik.
Beliau berkata, lima ikhtiar berkenaan merangkumi usaha meneguhkan parti, mengeratkan saf Barisan Nasional (BN), menguasai medan penerangan dan media sosial, menganjak strategi serta mendekati rakyat dengan solusi dan penyelesaian yang benar-benar boleh dirasai.

“TEKAD 16 ini membawa mesej yang jelas bahawa persiapan menghadapi PRU16 perlu dimulakan dari sekarang.
“Yang penting ialah bagaimana lima ikhtiar ini diterjemahkan melalui kerja di lapangan, khususnya dengan memperkukuh organisasi parti, merapatkan saf dan memastikan suara serta permasalahan rakyat diberi perhatian,” katanya.
Mohd Jafni yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor berkata, pendekatan mendekati rakyat perlu menjadi antara keutamaan kerana kekuatan politik parti akhirnya bergantung kepada tahap kepercayaan masyarakat terhadap kemampuan UMNO dan BN menyelesaikan masalah mereka.
Menurutnya, strategi penerangan dan penguasaan media sosial juga perlu diperkasakan bagi memastikan mesej serta agenda perjuangan parti dapat disampaikan dengan lebih berkesan dalam suasana politik yang semakin dinamik.
“Kita perlu anjak strategi mengikut perubahan semasa. Cara kita berkomunikasi dengan rakyat juga perlu berubah, termasuk menguasai medan media sosial, tetapi pada masa yang sama kerja bersemuka dan turun padang tidak boleh ditinggalkan.
“Rakyat mahu melihat hasil dan penyelesaian. Sebab itu TEKAD 16 mesti diterjemahkan melalui tindakan yang boleh dirasai,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Jafni berkata UMNO Bahagian Kulai akan terus memperkukuh gerak kerja akar umbi sebagai sebahagian daripada persiapan awal menghadapi PRU16.
Katanya, persiapan pilihan raya tidak seharusnya hanya bermula selepas Parlimen dibubarkan, sebaliknya perlu dilaksanakan secara konsisten mulai sekarang.
“PRU16 bukan bermula ketika Parlimen dibubarkan. Persiapannya bermula hari ini, di lapangan bersama rakyat.
“Insya-Allah, UMNO Kulai akan terus bergerak sebagai satu pasukan, merapatkan saf, memperkukuh akar umbi dan memastikan TEKAD 16 diterjemahkan melalui kerja yang nyata,” katanya lagi. – UMNO Online
