Pasca-PAU 2026: Keluarga UMNO Labuan Satukan Saf Hadapi PRU-16
KUALA LUMPUR, 14 Sept – Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh barisan kepimpinan, pengurusan, perwakilan serta pemerhati UMNO Bahagian Labuan yang hadir bagi menjayakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Beliau berkata, kehadiran seluruh keluarga UMNO Labuan pada perhimpunan berkenaan bukan sekadar memenuhi tuntutan organisasi, sebaliknya mencerminkan rasa tanggungjawab, kesetiaan dan kecintaan terhadap UMNO serta perjuangan parti.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh barisan kepimpinan, pengurusan, para perwakilan serta pemerhati UMNO Bahagian Labuan yang hadir bersama-sama menjayakan PAU 2026.
“Kehadiran kita bukan sekadar memenuhi tuntutan organisasi, tetapi lahir daripada rasa tanggungjawab, kesetiaan dan kasih kita kepada UMNO serta perjuangannya,” katanya.
Menurut Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, semangat yang ditunjukkan oleh seluruh warga UMNO Labuan sepanjang PAU 2026 perlu diteruskan dan diterjemahkan melalui gerak kerja yang lebih tersusun apabila kembali ke bahagian.
Beliau menyeru seluruh kepimpinan dan akar umbi UMNO Labuan supaya terus memperkukuh kesatuan, merapatkan saf serta menggerakkan kekuatan parti di semua peringkat.
“Saya berharap semangat luar biasa yang kita bawa sepanjang PAU 2026 ini tidak berakhir di sini. Bawalah semangat ini pulang ke Labuan. Satukan saf, rapatkan barisan dan gerakkan seluruh kekuatan akar umbi,” katanya.
Tambah beliau, perjalanan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) menuntut kerja keras, komitmen dan pengorbanan daripada seluruh anggota parti.
Katanya, kesatuan serta tekad yang kukuh menjadi asas penting bagi memastikan UMNO terus mendapat tempat di hati rakyat Labuan.
“Insya-Allah, dengan kesatuan dan tekad yang kuat, kita akan Birukan semula langit Labuan!
“Kita pulang bukan sekadar membawa semangat, tetapi membawa satu misi iaitu kembalikan Labuan kepada Barisan Nasional,” katanya.
Mohd Rafi turut menegaskan bahawa semangat kebersamaan yang dizahirkan sepanjang PAU 2026 perlu menjadi pencetus kepada gerak kerja berterusan di peringkat akar umbi demi memperkukuh semula kekuatan Barisan Nasional di Labuan. – UMNO Online
