PAU 2026 Suntik Semangat UMNO Melaka – Rais

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Ucapan dasar dan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 berjaya menyuntik semangat baharu kepada seluruh akar umbi parti, khususnya UMNO Melaka.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, PAU 2026 memperlihatkan semangat dan kesungguhan tinggi perwakilan dalam memastikan UMNO terus relevan serta kukuh menghadapi landskap politik semasa.

Menurut beliau, ucapan Presiden kali ini antara yang terbaik kerana membawa mesej yang jelas mengenai masa depan bangsa, kelangsungan perjuangan UMNO dan keperluan seluruh anggota parti untuk terus memperkukuh gerak kerja di akar umbi.

“Bagi saya, ini antara ucapan dasar Presiden yang terbaik. Beliau mengingatkan kita tentang kesinambungan perjuangan sejak dua tahun lalu hingga hari ini serta tanggungjawab kita terhadap masa depan bangsa.

“Ucapan ini bukan sahaja memberi semangat, tetapi membangkitkan keyakinan akar umbi untuk terus bersama-sama dalam perjuangan UMNO,” katanya.

Rais berkata, semangat yang ditunjukkan perwakilan Melaka sepanjang PAU 2026 membuktikan ahli parti di negeri itu bersedia menterjemahkan amanat Presiden menerusi gerak kerja yang lebih tersusun dan dekat dengan rakyat.

Katanya, konsep ‘Agenda Birukan Malaysia’ yang diketengahkan Presiden juga perlu difahami dalam konteks yang lebih luas, bukan sekadar berkaitan warna atau simbol parti.

“Biru bukan sekadar warna baju atau lambang parti. Ia membawa semangat untuk kita memastikan Malaysia berada pada kedudukan yang sepatutnya. Semangat ini kita akan bawa pulang dan terjemahkan melalui kerja kita bersama rakyat,” katanya.

Beliau berkata, PAU 2026 yang melabuhkan tirai hari ini perlu menjadi titik tolak kepada seluruh anggota UMNO untuk kembali ke kawasan masing-masing dengan semangat yang lebih kuat dan fokus yang lebih jelas.

“Perhimpunan sudah selesai, tetapi perjuangan kita tidak berhenti di sini. Kita kembali kepada rakyat, kukuhkan parti dan laksanakan apa yang telah disampaikan Presiden.

“Insya-Allah, UMNO Melaka akan terus bersama kepimpinan parti membawa semangat ini ke peringkat akar umbi,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO