PAU 2026 Berakhir, Kerja Sebenar UMNO Kini Bermula – Azalina
KUALA LUMPUR, 14 Sept – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang melabuhkan tirai kini membuka ruang kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menterjemahkan segala agenda serta pandangan yang dibincangkan kepada gerak kerja di lapangan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, segala ucapan, perbahasan dan pandangan yang diketengahkan sepanjang PAU tidak seharusnya terhenti di Dewan Merdeka, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“PAU 2026 telah melabuhkan tirai. Kini, kerja sebenar bermula. Segala ucapan, perbahasan dan pandangan sepanjang perhimpunan ini tidak boleh terhenti di Dewan Merdeka sahaja,” katanya.
Menurut beliau, agenda Malaysia Biru yang diketengahkan pada PAU telah memberikan gambaran mengenai tawaran masa depan yang mahu dibawa kepada rakyat dan seterusnya diterjemahkan dalam manifesto BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Katanya, agenda berkenaan perlu disusuli dengan usaha berterusan bagi memastikan tawaran politik BN bukan sekadar menjadi gagasan, tetapi dapat difahami dan diyakini rakyat.
“Agenda Malaysia Biru telah memberi gambaran tentang tawaran masa depan yang mahu kita bawa kepada rakyat dan akan diterjemahkan dalam manifesto BN menuju PRU-16,” katanya.
Azalina berkata, sebelum menghadapi PRU-16, BN berdepan ujian terdekat menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang disifatkan sebagai peluang untuk membuktikan kemampuan parti menterjemahkan hasil perbincangan PAU kepada kerja nyata.
“PRN Melaka menjadi peluang untuk kita membuktikan bahawa apa yang dibincangkan di PAU boleh diterjemahkan kepada gerak kerja, khidmat dan keyakinan rakyat di lapangan,” katanya.
Beliau menegaskan, tumpuan selepas PAU kini perlu diberikan kepada pelaksanaan, khidmat kepada rakyat serta usaha membina semula keyakinan pengundi terhadap BN. – UMNO Online
