Kerajaan PH Tiada Idea Baru Selain Salahkan Kerajaan BN, Cantas Projek – Dr Najmil


KUALA LUMPUR, 15 Okt – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil berkata, tindakan kerajaan yang mahu membatalkan beberapa projek sehingga mengakibatkan ramai rakyat kehilangan kerja merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan dilihat lebih kepada politik pemimpin dalam kerajaan itu sendiri berbanding nasib rakyat.

Menurutnya, keluhan dan kebimbangan netizen termasuk pekerja MMC Gamuda yang viral di media apabila Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan mahu membatalkan projek MRT2 itu ternyata satu manifestasi ketidakpuasan hati rakyat terhadap keputusan kerajaan itu.

“Di awal-awal kerajaan PH mengambil alih pentabdiran negara, kita sudah mendengar cerita beribu-ribu penjawat awam diberhentikan kerja.

“Kerajaan memberi alasan kononnya mereka diberhentikan kerana lantikan politik, sedangkan ada akhbar yang mendedahkan ada penjawat awam berstatus kontrak yang sudah bekerja 20 tahun juga diberhentikan”, katanya kepada UMNO-Online.

Justeru beliau melihat kerajaan hari ini tidak berpegang kepada prinsip rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Apa yang lebih penting bagi mereka jelasnya lagi adalah untuk mencantas projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum ini tanpa memikirkan nasib rakyat yang bekerja di syarikat yang terlibat dalam projek tersebut.

“Ini dilakukan atas alasan projek itu mahu ditender semula. Mengapa pula projek tersebut mahu ditender semula sepertimana kenyataan Menteri Kewangan. Apa yang tidak kena? Dan apakah kerajaan dan kementerian kewangan boleh menjamin proses tender semula itu dilakukan dengan lebih telus dan adil?

“Dalam isu ini saya berpandangan kerajaan baru hari ini tidak ada sebarang usaha dan ide baru untuk menyenangkan rakyat, sebaliknya bersikap seperti pembuli rakyat apabila membuat keputusan tanpa nemikirkan langsung nasib rakyat di akar umbi,” tegasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan baru hari ini perlulah tampil dengan ide-ide baru yang meyakinkan untuk memperkukuhkan eknomi negara sekaligus menaikkan taraf kehidupan rakyat di negara ini dan bukan hanya bertindak seolah-olah mahu membalas dendam terhadap kerajaan sebelum ini.

“Kita lihat hari ini, Menteri Kewangan sibuk menyiasat isu 1MDB seolah-olah beliau pula pengarah SPRM, sedangkan ekonomi negara semakin lama semakin teruk.

“Dalam keadaan ekonomi tiba-tiba jatuh merudum selepas kerajaan PH mengambil alih, dengan RM yang semakin menguncup, dikejutkan pula dengan kejatuhan bursa saham Kuala Lumpur yang begitu teruk, sepatutnya kerajaan khususnya Menteri Kewangan tampil dengan ide dan cara untuk mengukuhkan kembali ekonomi, dan bukan hanya bercakap soal 1MDB semata-mata macam sudah tidak ada kerja lain”, ujarnya.

Daripada respon rakyat di akar umbi kata beliau lagi ramai yang telah bosan dengan sikap kerajaan hari ini yang asyik menyalahkan kerajaan terdahulu sedangkan mereka sendiri tidak ada dasar-dasar baru yang dikemukakan dan hanya meneruskan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum ini.

“Bahkan sebahagian dasar kerajaan hari ini dilihat menekan golongan sederhana dan miskin apabila bantuan-bantuan kepada petani dan pekebun kecil, peneroka felda dan felcra, serta nelayan tidak lagi diteruskan dalam situasi harga komoditi yang semakin menjunam hari ini,” tegasnya. -MediaUMNO