Anwar Kembali Ke Parlimen, Catat Sejarah Suami, Isteri dan Anak Jadi Ahli Parlimen Serentak

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang menyaksikan bahawa sejarah politik negara tercatat apabila suami, isteri dan anak memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen dalam masa yang sama.

Isteri beliau, Ahli Parlimen Pandan yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail manakala anaknya, Nurul Izzah Anwar adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menyaksikan upacara mengangkat sumpah yang diadakan pada kira-kira 10 pagi sejurus Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14 mula bersidang.

Ini susulan kemenangan Anwar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Sabtu lalu dengan majoriti besar 23,560 undi.

Pada PRK tujuh penjuru itu, Anwar, 71, mendapat 31,016 undi, menewaskan calon PAS Mohd Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan lima calon Bebas merangkumi bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan (82), bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (4,230), Lau Seck Yan (214), Stevie Chan (337) dan Kan Chee Yuen (154).

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi berkenaan, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi pada 12 Sept lalu untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Danyal sebelum ini dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas, memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan dari PAS.

Kali terakhir Anwar bertanding ialah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013 bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas) dengan majoriti 11,721 undi.

Kelayakan beliau sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun apabila rayuannya terhadap hukuman penjara pada Februari 2015 ditolak.

Bagaimanapun, beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, tujuh hari selepas PH diberi mandat memerintah susulan PRU14. – MediaUMNO