Pemuda UMNO Nibong Tebal Kecewa Dengan Kenyataan Dr Mujahid

NIBONG TEBAL, 7 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal menyarankan agar Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Mujahid Yusof Rawa agar berhenti mengeluarkan kenyataan yang mampu memburukkan imej agama Islam sekaligus mengelirukan.

Jelas ketuanya Mohd Norhiesam Ismail, seharusnya sebagai seorang menteri Agama, Mujahid perlu merujuk kepada ahli agama yang sepatutnya seperti mufti dan tokoh hukama’ serta fuqaha’ yang ada di negara ini terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.

“Kami Pemuda UMNO Nibong Tebal berasa kecewa dengan kenyataan Mujahid dalam temuramah bersama akhbar The Star tentang khalwat, peminum alkohol dan hal ehwal Agama Islam yang lain.

“Kenyataan beliau sama sekali tidak mengambarkan kredibiliti sebagai seorang Menteri Agama yang mempunyai latar belakang pendidikan Agama yang tinggi tetapi jelas terikut-ikut dengan fahaman liberalisme agama yang melampau.

“Perkara ini cukup menyedihkan buat seluruh umat Islam di negara ini apabila kita mempunyai Menteri Agama yang berfikiran sebegini kerana menyempitkan Agama dengan hanya dengan pandangan sisi beliau sebagai manusia melangkaui hukum Allah dan Rasul,” jelas beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Norhiesam, sejajar dengan Agama Rasmi sebagai Agama Persekutuan adalah menjadi tanggungjawab sebuah negara Islam mencegah mana-mana kemungkaran yang ada dalam negara dengan mengambil tindakan yang sepatutnya.

“Daripada Abu Said al-Khudri r.a., beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu mengubah dengan lidah, hendaklah dia mengubah dengan hatinya dan mengubah dengan hati itulah selemah-lemah iman. (Hadis Riwayat Muslim)

“Ini juga jelas menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan tidak serius dalam menguruskan hal berkaitan agama seperti perkara-perkara sebelum ini. Walaupun khalwat berlaku dalam kawasan persendirian, namun ia satu perkara wajib perlu dibanteras. Ini kerana, perbuatan khalwat adalah satu daripada mukadimah daripada zina seperti larangan Allah dalam Surah Al Isra’ ayat 32 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan),” tegas Norhiesam.

Justeru, beliau mendesak agar Mujahid meletakkan jawatan kerana dilihat gagal menjaga Hal Ehwal Agama kerana sering mengeluarkan kenyataan yang becelaru tentang agama.

Berilah kepada mereka yang mampu menggalas amanah ini dengan sebaiknya demi kemaslahatan umat Islam yang ada di Malaysia. – MediaUMNO


 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.