Kerajaan PH Jangan Ambil Pendekatan Salahkan Segala-Galanya Kepada Kerajaan Terdahulu – Najib

 

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengharapkan agar kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak mengamalkan pendekatan penyalahkan segala-galanya kepada kerajaan terdahulu hanya kerana mereka gagal menunaikan janji-janji dalam manifesto.

Jelas beliau, kerajaan PH juga harus menyedari bahawa tidak semua yang kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN) buat itu perlu dibatalkan atau dikaji semula.

“Seperti mana dalam ucapan saya di dalam Dewan tadi, apabila kita menyerahkan kerajaan kepada PH, negara ini adalah sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang kukuh dan mengalami pertumbuhan ekonomi yang positif selama sembilan tahun berturut-turut… pendapatan rakyat bertambah, inflasi rendah dan pengangguran rendah.

“Sepatutnya mereka mengambil langkah mana yang baik diteruskan dan yang mana perlu dikaji semula, kajilah semula tetapi jika nak buat cara seperti ini maka akan timbul ketidaktentuan dalam pasaran, pelabur kurang yakin, masalah dalam perancangan, projek tergendala dan lain-lain.

“Inilah yang menyebabkan rakyat bimbang… begitu juga pihak yang terlibat dalam bidang pelaburan dan perniagaan,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Menjawab persoalan berkaitan sepucuk surat daripada Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat (AS) sebelum PRU-14 jelas Najib, beliau tidak tahu berkaitan surat tersebut dan ia dibuat oleh badan perisik negara.

“Bukan dasar kita (semasa pentadbiran BN) untuk mendedahkan surat tersebut. Ia rahsia kerajaan… kalau kita dedahkan maknanya tidak ada apa-apalah yang boleh kita anggap sebagai rahsia dalam negara,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.