PRN Johor: Tengku Adnan Seru Jentera BN Bersatu Demi Kemenangan
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon Barisan Nasional (BN) yang telah diumumkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam.
Menurut beliau, pengumuman calon menandakan bermulanya fasa penting dalam gerak kerja pilihan raya yang memerlukan seluruh jentera parti serta penyokong BN untuk bersatu hati dan memperkukuhkan saf perjuangan demi memastikan kemenangan gabungan itu.

“Sekarang adalah masanya untuk seluruh jentera dan penyokong BN bergerak sebagai satu pasukan, turun ke lapangan dan bekerja bersungguh-sungguh demi memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam PRN Johor,” katanya.
Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata, PRN Johor bukan sekadar soal calon atau pertandingan politik semata-mata, sebaliknya melibatkan masa depan negeri dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
Jelas beliau, rakyat Johor memerlukan kestabilan politik, pentadbiran yang berpengalaman serta kepimpinan yang telah terbukti berupaya membawa kemakmuran dan pembangunan berterusan kepada negeri berkenaan.
“Barisan Nasional telah membuktikan kemampuan tersebut melalui rekod pentadbiran yang cemerlang dan hasil yang nyata untuk rakyat. Johor bukan medan eksperimen politik yang boleh menggadaikan kestabilan dan kemajuan negeri,” ujarnya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Johor agar memberikan mandat yang kukuh kepada BN demi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Ayuh kita pertahankan kestabilan, teruskan kemakmuran dan kembalikan mandat kepada Barisan Nasional demi Bangsa Johor yang lebih maju, makmur dan sejahtera,” katanya lagi.
Selepas DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu, rakyat Johor kini bersiap sedia menghadapi PRN dengan penamaan calon pada 27 Jun dan hari mengundi pada 11 Julai. – UMNO Online
