UMNO Menjunjung Kasih, Sokong Penuh Titah Agong Parlimen Perlu Diadakan Secepat Mungkin

KUALA LUMPUR, 16 Jun – UMNO menjunjung kasih dan menyokong penuh titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Ujar Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ini jelas menzahirkan kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu terhadap segala keresahan dan kegelisahan rakyat terhadap pelbagai krisis yang sedang melanda negara ketika ini.

“Saya amat menghargai kecaknaan Seri Paduka Baginda yang mengambil kira segala isu dan pendirian parti yang dipersembahkan ketika sesi mengadap pada 11 Jun lalu,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Jelas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), dalam sesi mengadap tersebut, beliau turut menjelaskan bahawa Parlimen harus dibenarkan berperanan sebagai platform rasmi menyuarakan pelbagai suara hati rakyat yang sedang dalam kesempitan seperti tuntutan Moratorium automatik secara pukal, kawalan harga barang, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan pelbagai bantuan khas kepada rakyat sekaligus memulihkan semula ekonomi negara.

“UMNO juga turut mempersembahkan pendirian berkenaan dengan keperluan untuk Darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021 kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara, sedangkan tanpa Darurat Kerajaan masih boleh menguruskan isu-isu berkaitan pandemik Covid-19.

“UMNO juga mendokong dan memandang serius saranan Seri Paduka Baginda akan keperluan mewujudkan sebuah Kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Sekali lagi UMNO ingin merafakkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih tidak terhingga kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu yang sentiasa menjadi sandaran dan payung tempat rakyat berteduh di saat-saat rakyat amat susah dan gelisah memikirkan tentang kelangsungan hidup mereka,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Pandangan itu dizahirkan Al-Sultan Abdullah selepas berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini. – UMNO Online

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2021/06/KENYATAAN-MEDIA-16-Jun-2021.pdf”]

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit