Pentingnya Keperlembagaan Ditegakkan, Dewan Rakyat Tergantung… Rakyat Kecewa
1. Rakyat Malaysia terutamanya mereka yang miskin kini berada dalam keadaan terdesak dan kecewa. Mereka ketakutan terhadap perkara yang tidak dapat dikenalpasti dan curiga mengenai keadaan keselamatan diri. Mereka amat tertekan oleh kegelisahan mengenai masa depan.
2. Yang dianggap musuh tidak kelihatan dan ini menimbulkan kebimbangan. Ia mampu bertindak lebih bijak dan ini seolah-olah perjuangan melawan kuasa ghaib. Keadaan biasa tidak lagi wujud. Apa yang dapat diharap pada masa depan bergantung kepada sama ada kepimpinan negara dapat membawa perubahan.
3.
Kepimpinan negara masa kini amat penting kesannya terhadap cara hidup rakyat. Sesungguhnya kita berada di dalam keadaan serba salah. Persoalan yang timbul adalah apakah negara ini dapat meneruskan kedudukannya sepertimana keadaan terdahulu. Kepimpinan seperti yang terdapat di masa lampau kini tidak relevan lagi. Di samping itu ia tidak dapat menangani berbagai masalah berkaitan dengan ekonomi yang dihadapi serentak termasuklah masalah pengangguran tinggi, kehilangan pendapatan dan kewangan semakin kurang untuk membiayai, sebagai contoh, makanan dan kesihatan.
4. Keadaan sebegini tidak pernah berlaku di masa-masa lampau. Pada masa dahulu keadaannya tidak serumit kini dan orang ramai lebih optimis. Kini mereka tidak lagi begitu.
5. Perlembagaan dan institusi-institusi negara tidak terbentuk untuk meghadapi keadaan yang sedang melanda kita. Sama ada institusi-institusi kenegaraan kita dapat menangani keadaan ini adalah suatu keraguan oleh kerana mutu kepimpinan pada masa kini menjadi tanda tanya.
6. Terdapat tiga kekurangan Dewan Rakyat, yang ditauliahkan oleh perlembagaan sebagai penentu muktamad untuk memilih Perdana Menteri daripada kalangan Wakil Rakyat, iaitu:
a) Ia tidak berfungsi secara menyeluruh oleh kerana sebahagian daripada Wakil Rakyat mempunyai kepentingan kewangan (sama ada secara terbuka atau pun secara senyap) dan hilang kelayakan mengikut Akta Majlis Parlimen (Kestimewaan dan Kuasa) 1952.
b) Dewan Rakyat kini dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai majoriti untuk membuat keputusan.
c) Juga terdapat ahli-ahli yang tidak menepati peruntukan perlembagaan berkaitan dengan pemilihan mereka dan ini merupakan penipuan terhadap perlembagaan.
Tidak terdapat peruntukan di dalam pelembagaan atau mana-mana undang-undang untuk menyelesaikan masalah ini.
7. Kini perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat mengenai keadaan semasa semakin tebal, walaupun ia tidak disuarakan oleh mereka. Gelombang sepi ini mencerminkan kehilangan keyakinan oleh rakyat terhadap pemimpin mereka. Kita tidak harus membenarkan keadaan ini membiak.
8. Maka itu, Raja-Raja Melayu bertanggungjawab untuk memainkan Peranan Keperlembagaan yang dianggap penting ketika negara berada dalam keadaan genting ini. Peranan ini timbul selaras dengan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-Raja Melayu yang memilih baginda mewakili Majlis Raja-Raja Melayu. Peranan ini wujud selaras dengan Sumpah Jawatan itu.
9. Tanggungjawab ini memerlukan pemilihan seorang pemimpin tanpa kepentingan peribadi, parti politik mahu pun pertimbangan peribadi. Pemimpin tersebut semestinya mempunyai kemampuan, keupayaan, visi dan pemahaman mendalam mengenai keadaan semasa demi memimpin kerajaan yang mampu membantu kita mengatasi keadaan teruk yang melanda rakyat sekarang.
10. Sekarang ini kita menghadapi krisis bertubi-tubi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Sistem ekonomi kita merudum. Di samping itu, kita mengalami krisis berkaitan dengan keperluan asas seperti bekalan makanan, keadaann kesihatan dan isu keselamatan. Kita ada dua pilihan, sama ada hadapinya dan selesai kesemua masalah atau menempuhi kegagalan. Sedia maklum bahawa kepimpinan mempunyai hubung kait rapat dengan kemajuan negara dan kehidupan rakyat yang baik. Lipatan sejarah banyak merakam kegagalan kepimpinan. Kita tidak harus memberi ruang kepada kegagalan.
YBM TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
AHLI PARLIMEN GUA MUSANG