Pemuda UMNO Pahang Bidas Desakan MUDA

Assalamu’alaikum Warahmatullah,

Berikut adalah jawapan kami Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang ke atas satu kenyataan media yang dibuat oleh Parti MUDA Negeri Pahang.

Jawapan 1:

Agihan bakul makanan memang sedang diagihkan oleh Kerajaan Negeri Pahang, bukan sekadar tempoh PKPD malah sejak PKP 1.0 bermula sejak Mac 2020 lagi termasuk ketika bencana Banjir berlaku awal tahun ini.

Bakul terbabit walaupun tidak dalam bentuk bakul adalah dalam bentuk makanan asas dan ada kalanya dalam bentuk barangan basah telah diagihkan bukan sahaja di Kuantan malah seluruh negeri ini dan antara bilangan yang terbesar adalah ketika Bandar Muadzam Shah dikenakan PKPD yang melibatkan hampir 15,000 penduduk.

Bantuan ini disalurkan oleh agensi kerajaan, wakil rakyat, Parti Barisan Nasional dan Muafakat Nasional, Penghulu, Ketua Kampung, MTSP dan pelbagai lagi NGO dalam Negeri Pahang.

Jawapan 2:

Begitu juga bantuan kewangan, ianya juga telah bermula sejak PKP 1.0, termasuk ketika bencana banjir, termasuk pengumuman terbaharu melibatkan peruntukkan sebanyak RM 7.8 juta yang bakal diagihkan secara berperingkat, bukan sahaja di Daerah Kuantan, tetapi meliputi seluruh Negeri Pahang.

Jawapan 3:

Kerajaan Negeri juga telah membenarkan taska di buka bagi membolehkan ibu-bapa yang perlu bekerja menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan.

Jika dirujuk kepada Daerah Kuantan, dengan kerjasama pelbagai NGO, sebuah pusat bagi melindungi golongan kanak-kanak di kalangan mereka yang kurang bernasib baik juga telah dibuka di Jalan Wong Ah Jang.

Golongan ini bukan sahaja akan dibela untuk tempoh PKPD, malah pusat ini merupakan satu projek perintis untuk pusat-pusat seumpamanya dibuka di lokasi-lokasi lain yang berhadapan dengan permasalahan sebegini.

Jawapan 4:

Keperluan untuk melaksanakan Mass Testing bagi seluruh Rakyat Kuantan memang sedang dilaksanakan bertempat di Dewan Jubli Perak (Dewan Konvensyen) berhampiran Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang.

Bukan itu sahaja, sebagai persediaan, sebuah Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 dengan kapasiti 1200 katil juga telah disiapkan untuk menerima pesakit-pesakit tahap 1-3 di Gambang, melengkapi pusat sedia ada di Stadium Tertutup Sukpa dan Kolej Universiti Sultan Haji Ahmad Shah.

Sukacita saya maklumkan, 1,200 katil yang disediakan ini telah dipasang oleh Sukarelawan yang terdiri daripada ahli Pemuda UMNO Pahang, Puteri UMNO Pahang, Unit Amal Pas Pahang, Majlis Mahasiswa Anak Pahang, Majlis Belia Pahang, Majlis Tindakan Sosial Pahang dan Skuad Bencana Pahang.

MUDA Pahang boleh bersama membantu di lain masa sekiranya tenaga diperlukan bagi membuka pusat-pusat seumpamanya di negeri ini. Gambar-gambar pemasangan ini tidak dapat kami viralkan atas arahan Majlis Keselamatan Negara Negeri Pahang.

Jawapan 5:

Bagi dana atau tabung pembelian vaksin, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan dana bagi membeli sebanyak 10,000 unit vaksin sekiranya ianya dibenarkan oleh Kerajaan Pusat.

Buat masa ini bekalan Vaksin di Negeri Pahang adalah mencukupi, namun masih ramai yang enggan mendaftar dan enggan hadir apabila dipanggil.

MUDA Pahang boleh membantu sukarelawan kami mempercepatkan proses ini dengan mengadakan program atau kempen pendaftaran vaksin seperti mana yang sedang dilakukan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Negeri Pahang dan MTSP.

Jawapan 6:

Bagi kemudahan PdPR, sebanyak 1,100 unit laptop telah diagihkan oleh Kerajaan Negeri berdasarkan pendaftaran yang dibuat oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mereka ini terdiri daripada pelajar-pelajar Tingkatan 5 di kalangan keluarga miskin tegar dan anak yatim. Kami percaya inilah golongan memerlukan yang disebut dalam Kenyataan MUDA Pahang.

Kami berharap agar maklumat ini dapat disampaikan kepada pimpinan dan ahli MUDA Pahang.

Berdasarkan kenyataan media ini, kami percaya yang mereka ini sama ada tidak pernah peduli atau mengambil tahu nasib rakyat di Negeri Pahang, namun hanya sekadar melihat peluang dalam kegawatan yang ada untuk menjadikan kewujudan mereka disedari.

Ianya amat malang sekali apabila kaedah berpolitik sebegini diamalkan oleh mereka yang menggelar dirinya mewakili golongan muda.

Sekian. Terima Kasih. – UMNO ONLINE

Mohd Farid Mohd Nor
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.