Solidariti Demi Palestin: Pemimpin UMNO Bersama Jurucakap Hamas Langsung Dari Gaza

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan bersama pemimpin-pemimpin parti telah mengadakan persidangan melalui Zoom bersama jurucakap Hamas di Gaza, Dr Abd. Latif Qanui’.

Menerusi sesi tersebut, para pemimpin UMNO ini mendengar maklumat terkini situasi di Bumi Palestin yang telah masuk hari kesepuluh serangan ketenteraan rejim Zionis Israel.

Dr Abd. Latif menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas solidariti yang dipaparkan, di samping memohon beberapa usaha diteruskan, antara lain:

– Bantuan perubatan.
– Bantuan makanan asas.
– Tekanan diplomatik kepada PBB, OIC dan negara-negara lain termasuk negara Islam yang telah menormalisasi hubungan dengan Israel.
– Memperbetul sebarang persepsi salah mengenai situasi semasa dan menekankan ini bukan peperangan tetapi penindasan yang kali ini bermula di penempatan Sheikh Jarrah.
– Mengajak umat manusia tanpa kira agama untuk terus bersolidariti atas semangat kemanusiaan.

Mengambil kira segala hujah tersebut, Shahril menegaskan jelas bahawa selain bantuan kebajikan, Malaysia juga perlu memainkan peranan dalam konteks masyarakat antarabangsa kerana penyelesaian ini menuntut koordinasi bersama negara-negara lain.

“Insya-Allah kami akan cuba menyumbang ke arah itu juga,” kata Shahril menerusi kenyataan dalam laman facebooknya berkaitan hal tersebut.

Ujarnya, semasa Zoom call ini, ngeri kedengaran peluru berpandu Israel di ruang udara Gaza.

“Sama-samalah kita berdoa agar diangkat kesengsaraan saudara-saudara kita di bumi Palestin dan kekejaman Israel dihentikan segera.”

Antara pemimpin UMNO yang turut serta dalam sesi tersebut ialah barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Jalaluddin Alias, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Selain itu, Exco Pemuda UMNO, Ikmal Hazlan dan Bastien Onn sementara Asuma Mohamed Sali dan Izzana Saleh dari Puteri UMNO Malaysia serta Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit