Aplikasi Ulang Tahun UMNO Ke-75 Demi Kebangkitan Baharu Bangsa
TANGGAL 11 Mei adalah hari kelahiran parti politik orang Melayu yang terulung di negara ini iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau dalam bahasa Inggeris United Malays National Organization (UMNO).
Parti politik yang lahir di Istana Johor dengan linangan air mata orang Melayu itu kini telah berusia 75 tahun.
Saya adalah veteran UMNO yang menyertai UMNO pada tahun 1947, iaitu setahun selepas UMNO dilahirkan, Sebenarnya saya telah melibatkan diri sejak awal penubuhanya pada tahun 1946 lagi tetapi ketika itu saya tidak dapat mendaftar keanggotaan kerana masih dibangku sekolah menengah.
Dalam meniti usia Jubli Intan ini, kita saksikan UMNO sedang bergelumang dengan pelbagai masalah.
Saya yakin ramai veteran UMNO sangat sedih dan kecewa melihat UMNO sekarang ini.
Ini kerana UMNO sebuah parti yang sangat sinonim dengan orang Melayu dan jasa UMNO terlalu banyak untuk dibandingkan dengan mana-mana parti politik lain di egara ini.
Menyingkap kembali perjuangan UMNO, seluruh rakyat Malaysia harus mengetahui fakta dan sejarah bahawa negara ini dibentuk oleh UMNO. Ini kerana UMNO adalah antara pihak yang terlibat dalam merangka Perlembagaan Negara ini.
UMNO juga membentuk Malaya menjadi Malaysia dan tiada sesiapapun boleh menafikan segala kemudahan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia adalah hasil perjuangan Pemimpin UMNO terdahulu.
Ketika British cuba mengambil alih kuasa Raja-Raja Melayu menerusi gagasan Malayan Union, tiada sesiapa pun yang melawan British kecuali orang Melayu yang bersatu dalam UMNO menentang sehingga rancangan British itu gagal.
UMNO telah menyelamatkan Institusi Raja-Raja Melayu di negara ini dan UMNO yang memastikan Perlembagaan Negara mengandungi perkara berkaitan Syiar Islam dengan menjadikan Islam sebagai Agama Persekutuan disamping agama-agama lain bebas diamalkan oleh rakyat Malaysia.
Siapapun tidak dapat menafikan fakta bahawa sebelum Tanah Melayu dijajah British, negeri-negeri dalam negara ini diperintah dan dikuasai oleh orang Melayu menerusi Sistem Monarki.
Sudah tersurat dalam takdir Illahi bahawa walaupun negara ini dirempuh dan dijajah dengan kuasa asing bermula dengan Siam, Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun namun kedaulatan Raja-Raja Melayu tidak tergugat sehingga ke hari ini.
UMNO mengetuai gerakan memerdekakan negara ini dan setelah British menyerahkan semula negara ini kepada Raja-Raja Melayu, UMNO mengubah sistem kerajaan daripada Raja berkuasa mutlak kepada sistem Raja berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
UMNO yang memberi ruang dan peluang kepada semua kaum bukan Melayu untuk menikmati kehidupan yang adil dan saksama di negara yang disebut oleh British sebagai Federation of Malay States atau Persekutuan Tanah Melayu.
UMNO jugalah yang menyatupadukan semua kaum di negara ini dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan UMNO jugalah yang mempelawa kaum Cina dan India menerusi Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) untuk sama-sama terlibat dalam politik dengan menyertai pilihan raya.
UMNO bersetuju memberi keistimewaan kaum bukan Melayu sehingga layak menjadi Menteri, Ketua Menteri dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
UMNO membentuk sistem ekonomi dan pembangunan negara secara terancang dengan pelan yang dikenali sebarang Rancangan Malaysia dan membangunkan kawasan luar bandar dengan mewujudkan Felda, Felcra, MARA dan PNB.
Namun hari ini terdapat segelintir generasi muda sedang membangkit sikap membenci UMNO dan tidak mengenang jasa UMNO.
Bertambah menyedihkan ialah bukan setakat orang bukan Melayu memperlekehkan UMNO malah orang Melayu sendiri mencerca UMNO yang begitu banyak berjasa kepada mereka.
UMNO tidak bersalah. Jika berlaku kepincangan dalam pentadbiran negara, ia adalah atas kesalahan pemimpin atau individu tertentu. Pemimpin datang dan pergi tetapi UMNO harus teguh berdiri.
Janganlah kerana marahkan nyamuk maka kelambu dibakar. Begitulah kerana kesalahan pemimpin tertentu, tidak sewajarnya UMNO pula dihukum, dicerca dan dihina seolah-olah tidak lagi relevan.
Janganlah kerana tidak berpuashati dengan pemimpin tertentu, orang Melayu terus berpecah dan menubuhkan parti-parti baru bagi bersaing dan “membunuh” UMNO pada pilihan raya.
Sejarah telah membuktikan perpecahan dikalangan orang Melayu tidak pernah menguntungkan Melayu malah musuh-musuh UMNO hanya bertepuk tangan dalam melihat perpecahan itu.
Adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan apabila ada pihak menawarkan kedudukan dan jawatan dalam kerajaan untuk anggota UMNO jika mereka sanggup keluar dari UMNO.
Apakah makna semua ini? Tepuk dada tanyalah iman.
Sebagai orang yang berpengalaman dalam krisis kepimpinan UMNO 1987, saya ingin menasihatkan semua pemimpin UMNO sekarang agar henti bertelagah sesama sendiri.
Percayalah, kita sendiri sedang menggelapkan masa depan parti dan anak bangsa. Jika terdapat perselisihan faham dan tidak berpuashati sesama sendiri, UMNO mempunyai Majlis Penasihat UMNO.
Rujuklah kepada saluran yang dibentuk oleh UMNO itu bagi mencari penyelesaian terbaik dan bukannya saling memburukan pemimpin sesama sendiri dalam media massa dan media sosial.
Anggota UMNO janganlah menjadi seperti mata lalat iaitu hanya mencari kekotoran dan kebusukan sebaliknya jadilah mata lebah iaitu mencari bunga yang cantik dan harum sahaja serta mengeluarkan madu untuk manfaat manusia.
Kita semua harus terima hakikat bahawa pada PRU 12 lagi, rakyat telah memberi isyarat awal kepada UMNO bahawa parti itu akan kehilangan kuasa jika sikap pemimpinnya tidak berubah.
Ketika itu UMNO mulai hilang pengaruh dan kalah di beberapa buah negeri tetapi malangnya pemimpin UMNO masih tidak sedar dengan isyarat yang diberikan dan akibatnya kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO tumbang sepenuhnya
diperingkat nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 tiga tahun lepas.
UMNO sebelum ini cuba mencari pelbagai formula untuk memperbaiki kelemahan dengan “meremaja UMNO” kemudiannya “UMNO
perlu berubah jika tidak mahu diubah”.
Malangnya semua slogan itu setakat retorik dan rakyat semakin hilang keyakinan apabila terdapat pemimpin yang mengkhianati amanah dan akhirnya rakyat menyingkirkan UMNO dari tampuk pemerintahan.
Saya melihat selama 22 bulan UMNO menjadi pembangkang, rakyat mula menilai semula kesilapan mereka menyingkir UMNO.
Kebanyakan rakyat mula sedar bahawa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak secekap Barisan Nasional untuk mentadbir negara dan gagal menunaikan janji-janji untuk membela rakyat seperti yang tercatat dalam manifesto mereka dalam pilihan raya.
Tetapi perkara telah berbeza apabila UMNO berkongsi kuasa menjadi kerajaan pusat dalam satu pakatan baharu bersama dua buah parti serpihan UMNO sendiri iaitu Parti Pribumi Bersatu dan PAS.
Gabungan yang dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) pula mula dikritik oleh rakyat kerana kelemahan-kelemahan kerajaan dalam menangani masalah negara dan akibatnya UMNO turut terpalit dengan kritikan itu.
UMNO tidak dominan dalam kerajaan sekarang dan inilah buat pertama kali dalam sejarah apabila Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan.
Ingatlah amanat Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengenai orang yang cuba mengambil alih kuasa politik UMNO:
“Jaga-jagalah mereka kerana mereka cuba menjaja lampu baharu untuk mendapatkan lampu lama yang ajaib itu”.
Bagi Pemimpin UMNO, tolonglah muhasabah diri, jika kita tidak lagi mendapat sokongan dan gagal membawa bahtera perjuangan, berundur secara terhormat dan jangan biarkan bahtera terus hanyut seperti tanpa nakhoda.
Sayangilah UMNO lebih dari sayangkan jawatan anda dan diri sendiri anda kerana jika bahtera UMNO karam, orang Melayu yang lemas.
Jika UMNO terpaksa berundur dari menyertai kerajaan PN, maka berundurlah segela demi nama baik parti dan bersiap sedia untuk mengambil semua mandat rakyat bagi menubuhkan kerajaan pimpinan (Muafakat Nasional) dan Barisan Nasional.
UMNO kini hendaklah segera memperkasakan Muafakat Nasional di tiap-tiap negeri dan juga memperkukuhkan Barisana Nasional di tiap-tiap negeri.
Pemimpin UMNO harus berjiwa besar dan jadilah lelaki budiman. Jika diri kita dikaitkan dengan sebarang masalah berkaitan undang-undang, segera berundur dan beri laluan kepada penganti.
Teladanilah sikap Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang tidak pernah mengambil sesen pun wang kerajaan untuk kepentingan dirinya.
Almarhum Tunku pernah menceritakan kepada saya bahawa beliau pernah ditawarkan komisen secara sah sebanyak 10 peratus oleh sebuah Syarikat Jentera di Eropah dalam lawatannya kerana kerajaan membuat pembelian yang bernilai jutaan ringgit menerusi Perancangan Malaya Pertama.
Tunku menolak habuan komisen nerjumlah ratusan ribu ringgit itu sebaliknya meminta syarikat berkenaan menurunkan harga pembelian sebanyak 10 peratus sebagai menganti komisen yang dimaksukan itu.
Begitu juga tanpa sebarang kes mahkamah pun, Tunku Abdul Rahman berundur memberi laluan kepada Tun Abdul Razak penggantinya. Begitu juga Tun Hussein Onn berundur memberi laluan kepada Tun Dr Mahathir.
Saya juga merayu kepada bekas Pemimpin UMNO yang kini berada dalam parti serpihan UMNO, kembalilah semula ke pangkuan UMNO.
Biduk berlalu, kiambang bertaut, begitulah seharusnya kita berbaik semula dan sudah-sudahlah menyimpan dendam kemarahan. Kembalilah bersama-sama demi memertabatkan semula Agama, Bangsa dan Negara.
Ingatlah janji dan ikrar semasa berada dalam UMNO. Jika UMNO yang tidak memberi ruang dan peluang untuk kita jadi Pemimpin, tidak mungkin kita dikenali dan mendapat kedudukan seperti sekarang.
Kejayaan adalah apabila kita mampu bangkit dari kejatuhan.
Sehubungan itu, sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Intan UMNO 2021, jadikanlah tarikh Keramat 11 Mei 2021 sebagai Hari Kebangkitan Semula Perpaduan Melayu UMNO.
Akhir sekali marilah kita merenungi Firman Allah SWT dalam surah Az Zumar ayat 53 yang bermaksud:
Katakanlah, “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.
Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.
(Surah Az-Zumar 53).
Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Haji Mohd Yussof Latiff
Veteren UMNO
Tokoh Kemerdekaan Negara 2014
Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2018