Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO – Meluruskan Jalur Politik Negara
UCAPAN DASAR DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
KETUA WANITA UMNO MALAYSIA
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO WANITA UMNO MALAYSIA 2020
“MELURUSKAN JALUR POLITIK NEGARA”
27 MAC 2021
DEWAN TUN DR. ISMAIL, PWTC
****************************
Bismillahirrahmanirrahim
Sebelum saya memulakan ucapan, saya minta kita semua menyedekahkan Al-Fatihah kepada rakan seperjuangan kita, arwah Hapsah Hamid, Ketua Wanita Umno Bahagian Rasah yang telah pergi meninggalkan kita baru-baru ini. Al-fatihah.
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh
Segala puji-pujian kehadrat Allah S.W.T.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., keluarga serta para sahabat Baginda.
SALUTASI
Yang Berbahagia Dato’ Saripah Aminah Syed Mohamad
Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia
Yang Berhormat Datuk Seri Diraja Mahdzir Khalid
Naib Presiden UMNO Malaysia
Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan
Setiausaha Agung UMNO Malaysia
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Azizah Johor
Timbalan Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia
Yang Berbahagia Datuk Norliza binti Abdul Rahim,
Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia
Yang Berhormat Datuk Rosni Sohar,
Setiausaha Wanita UMNO Malaysia
Barisan Pegawai-Pegawai, Exco-Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia,
Wakil-Wakil Ahli Majlis Kerja Tertinggi ke Perhimpunan Agung Wanita UMNO
Yang Amat Berhormat Datuk Ir. Haji Hasni Mohamad
Yang Berhormat Haji Yaakub Khan
Yang Berbahagian Dato’ Armand Azha Abu Hanifah
Para perwakilan yang saya kasihi sekalian,
Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran Ketua Wanita MCA, Ketua Wanita MIC, Ketua Wanita PBRS dan Ketua-ketua Friends of BN dari KIMMA, IPF dan Makhal Sakti.
Juga tidak ketinggalan sahabat kita Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, bersama-sama delegasinya.
Terima kasih di atas kesudian meluangkan masa untuk bersama-sama kami di pagi ini.
Tuan-tuan dan puan-puan, wakil-wakil media, serta semua yang saya hormati sekalian.
PENDAHULUAN
1. Alhamdulillah, pada hari yang penuh bermakna ini, marilah kita sama-sama berdoa agar Perhimpunan Agong Wanita UMNO Malaysia 2020 yang diadakan pada hari ini menjadi perhimpunan yang dirahmati dan mudah-mudahan penangguhannya nanti menjadi suatu yang diberkati oleh Allah S.W.T.
2. Perhimpunan kali ini agak unik kerana buat julung kalinya diadakan secara hibrid, ada bersemuka, ada secara maya. Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang selalunya meriah dan sesak dengan kehadiran ahli-ahli UMNO dan para tetamu dari seluruh Malaysia, hari ini agak lengang. Tetapi, saya tetap merasai semangat jiwa-jiwa wanita di dalam dewan ini. Jiwa-jiwa yang membara dalam sebuah jalur perjuangan yang luhur. Sudah tentu kita merindukan suasana yang sebegitu untuk kita menyemarakkan lagi perjuangan kita.
3. Pastinya pandemik COVID-19 yang melanda negara lebih setahun yang lalu telah memberi kesan kepada kehidupan seharian kita. Ia benar-benar memberi kita satu cabaran untuk mempraktikkan norma baharu. Namun saya yakin dan percaya, semangat Wanita UMNO diluar sana tetap membara kerana Wanita UMNO adalah Wanita Luar Biasa!
4. Ya, perhimpunan kali ini sangat berbeza. Namun aura dan bahangnya sangat terasa kerana inilah perhimpunan yang amat dinanti-nantikan oleh kita semua. Di sini kita beraku janji kepada parti demi mengangkat kesucian Agama, kemuliaan Bangsa dan kesejahteraan Negara.
5. Sesungguhnya kehadiran kira-kira 982 orang perwakilan Wanita UMNO dari seluruh negara tidak kiralah sama ada di bangunan keramat ini atau mengikuti secara maya, anda semua ialah barisan hadapan yang penting dalam kita mengukuhkan kegemilangan parti ini.
6. Tiga tahun adalah satu tempoh yang panjang. Dinamika politik seperti embun di atas daun – umpama kumbang putus tali. 9 Mei yang menjadi episod malang buat kita, menjadi asbab untuk kita memperhalusi perjuangan yang suci. Kita bertatih menyusun gerakan – membina semula paksi-paksi keyakinan. 22 bulan mengajar kita erti pengorbanan dan memperbaiki segala kesilapan.
7. Lantas, hari ini bukan hari pertama kita melakar jalur perjuangan – melebarkan peranan wanita yang menjadi kekuatan perjuangan parti yang masih menjadi sandaran, bukan sahaja ahli parti tetapi isi-isi hati di ibu pertiwi. Biar ia bergolak, biar ia beradu, semua tersirat pada perjuangan yang satu – mengembalikan maruah Melayu!
Sidang perwakilan sekalian,
8. Sesungguhnya kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan bukan rahmat kepada UMNO atau PAS sahaja. Ia adalah rahmat kepada Islam, orang Melayu, masyarakat bumiputera dan seluruh rakyat di negara ini. Bayangkan kerosakan yang telah dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Baik dari segi keharmonian antara kaum. Baik dari segi ekonomi. Segalanya berpaksikan kepada kelemahan sebuah Kerajaan yang tidak bijak untuk mengemudi.
9. Walaupun kita sekarang menjadi sebahagian daripada kerajaan, tetapi ini tidak bermakna, ia memberi lampu hijau kepada Kerajaan sementara ini untuk bertindak sewenang-wenangnya. Ini tidak bermakna walaupun saya berpijak di dalam pentas yang sama, segala tindak-tanduk – segala keputusan yang boleh menodai kepercayaan rakyat, tidak semestinya kita akur. Marilah bersama-sama dengan saya, menjadi semak dan imbang kepada segala tindakan kerajaan.
10. Wanita Luar Biasa ini akan terus berjuang walaupun kita pernah kalah di medan perang. Wanita Luar Biasa inilah yang akan terus berjuang walau dicemuh – dipandang sepi sehingga ada yang hilang kepercayaan. Wanita Luar Biasa inilah yang bingkas bangkit menyusun langkah bagi memastikan parti ini terus gah. Wanita Luar Biasa inilah berkorban jiwa dan raga, masa dan keluarga bagi memastikan parti ini terus diperkasa, negara ini terus mekar terbina!
PENYATUAN UMMAH
Para perwakilan yang dihormati sekalian,
11. Ibarat senjata yang tajam, kuasa itu jika dimanfaatkan dengan hikmah, ia membawakan kepada kesejahteraan, jika disalah guna, boleh melukakan dan membunuh kita.
12. 365 hari yang berlalu, penuh dengan mehnah dan tribulasi. Siapa sangka, dari terbit cahaya mengubat hati yang gelora dan tampak sinar di hujung terowong; hari ini kita berhadapan dengan awan mendung yang mungkin mendatangkan ribut taufan menggoncang politik negara sekali lagi.
13. Enam bulan pertama pentadbiran yang penuh semangat dan kegembiraan rakyat kini dipenuhi hiruk-pikuk pergaduhan politik. Benarlah kuasa menguji manusia. Kita mudah menuturkan bicara ketika menunding jari. Hari ini apabila diberi kuasa dan peluang oleh Allah S.W.T., kita mengulangi sejarah perbalahan umat Islam sejak pembunuhan Saidina Usman bin Affan.
14. Sejarah Islam mencatatkan kisah sedih pergaduhan dua sahabat Nabi, Saidina Ali dan Muawiyah sehingga tercetusnya perang Siffin. Kita semua tahu pergaduhan ini berakhir dengan pembunuhan Saidina Ali juga. Kita juga tahu segalanya berpunca daripada adu domba puak munafik dan khawarij.
15. Secara peribadi, inilah tanggapan saya dalam keadaan politik orang Melayu hari ini. Walaupun kita tidak berperang dan berbunuhan secara fizikal, namun perang dan ‘pembunuhan’ dalam wacana politik juga bakal melemahkan politik Melayu-Islam sekali lagi.
16. Tanpa kita sedari jarum-jarum kecil telah mengadu domba ikatan politik Melayu Islam ini dan akan menunjukkan taring mereka pada suatu masa nanti.
Jangan sesekali menodai kepercayaan yang diberikan,
Jangan sesekali disekat usaha kami mendampingi rakyat,
Jangan sesekali membuat muslihat,
Yang akhirnya membawa mudarat.
Di depan baik, di belakang menikam,
Di tepi berpimpin, di sisi merobek.
Bersatu biar ikhlas, bersahabat biar jelas.
Sekali terguris, selamanya kepercayaan terhakis.
Wanita Luar Biasa punyai harga maruah yang tidak boleh dijual beli,
Dan jangan sesekali kamu calit umpama tanggang yang tidak mengenal budi!
UMNO ini keramatnya masih ada lagi!
Terbang kunang di tengah malam,
Hinggap masuk di tiang seri,
Tangan kanan ajak bersalam,
Apa maksud pisau di kiri.
MELURUSKAN JALUR POLITIK NEGARA
Para perwakilan wanita yang disayangi sekalian,
17. Mari kita kenang kembali, detik PRU14. Sudah kita lupakah pada ketika itu kita bersendirian, kita adalah orang kalah, lalu melompatlah si luncai? Kita ditinggalkan terawangan-awangan.
18. Betul kita kalah, namun Wanita UMNO tetap setia kepada parti. Wanita adalah tunjang parti keramat ini. Kita akan terus bersama dengan parti dan kepimpinan parti.
19. Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah membuat keputusan tiada kerjasama dengan PKR mahupun DAP. Dan pada masa ini, ketika ini dan detik ini, Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga telah membuat keputusan untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan parti Bersatu dalam pilihan raya umum yang akan datang.
20. Saya ingin tegaskan di sini bahawa Wanita UMNO menyokong keputusan Majlis Kerja Tertinggi yang NO. DAP! NO PKR! Dan tarik sokongan terhadap Bersatu sebaik sahaja paluan gendang pilihan raya bermula!
21. Kita bersetuju UMNO dan Bersatu ini sukar untuk tidur sebantal kerana kita punya mimpi yang berbeza. UMNO dan Bersatu ini banyak bertembung dari segi kepentingan. Atas sebab itulah kita sukar untuk mengadakan kerjasama dalam PRU.
22. Sudah tentu keputusan ini memberikan pelbagai implikasi politik kepada orang Melayu. Namun, Wanita UMNO berpandangan, kita harus terus bersama dengan keputusan yang telah dibuat oleh akar umbi dan kepimpinan parti.
23. UMNO harus memikirkan kelangsungan atau survival parti demi mempertahankan agenda Melayu Islam di negara ini. UMNO, sebagai parti keramat orang Melayu mempunyai satu tanggungjawab yang besar untuk meluruskan kembali jalur politik negara.
24. Jalur politik ini penting, kerana kita bukanlah pengkhianat. UMNO tewas – tetapi kita gunakan ruang itu untuk bangkit kembali diterima rakyat. UMNO tewas – tetapi komponen Barisan Nasional dan Friends of BN tetap setia. UMNO tewas – tetapi hubungan bersama PAS yang dahulunya tidak sehaluan kembali pulih setelah penyatuan ummah digerakkan. Tetapi UMNO tidak pernah terkubur, apatah lagi dikatakan lemah sehingga dilihat boleh diperguna serta diperkotak-katikkan sesuka hati.
25. Jalur ini umpama benang yang basah. Bukan mudah untuk dilentur lurus. But impossible is nothing. Kalau kita cekal berusaha, jalur politik ini akan kembali kepada asasnya – asas yang disantuni oleh pejuang-pejuang yang telah memimpin negara ini terbina dengan gemilangnya. Pemimpin-pemimpin ini bukanlah datang dari luar – tetapi mereka lahir daripada parti yang menjadi azimat sejak sekian lama.
26. Jadi, Wanita UMNO menegaskan dan mahukan kepimpinan parti untuk terus tegas dalam memastikan parti ini kembali memimpin. Bukan kerana kuasa, bukan kerana kerusi. Tetapi, parti keramat ini perlu mendominasi, untuk kesejahteraan rakyat, yang sekian lama telah terbukti. Jangan sesekali, benarkan kerusi yang penat jerih wanita dan jentera parti menangi, diberikan lagi kepada pengkhianat yang telah lompat parti!
27. Parti UMNO ini seperti dara pingitan, ramai yang mencuit, ramai juga yang mengenyit. Tapi ingat! Saya ingin tegaskan, UMNO hanya akan menerima dan bekerjasama dengan mereka yang boleh menerima falsafah dan perjuangan parti keramat ini.
28. Justeru, berbekalkan jiwa yang utuh, semangat yang jitu – istaqamah kepada perjuangan yang satu, Wanita UMNO akan terus memberi kepercayaan kepada Presiden parti dan Ahli Majlis Kerja tertinggi UMNO untuk meneliti, mengkaji dan membuat keputusan politik yang terbaik demi memastikan UMNO kembali menjadi pilihan rakyat dan pengundi.
PERSIAPAN PRU15
Para Perwakilan yang dihormati sekalian,
29. Sebagai sebuah entiti terbesar dalam UMNO, Wanita UMNO harus bersiap siaga untuk menghadapi PRU pada bila-bila masa. Berdasarkan keputusan terbaru Majlis Kerja Tertinggi, UMNO akan bertanding atas tiket Barisan Nasional. Wanita UMNO harus bersedia seolah-olah kita akan bertanding secara solo.
30. Kita bangga dengan jenama ini. Jenama ini telah kita pertahankan sejak tertubuhnya pada tahun 1973. Ingat, daripada dulu lambang dacing inilah yang telah memberi khidmat bakti kepada rakyat sehingga ke pedalaman, hutan bandar dan persisiran pantai. Kenapa hanya sekali dicabut kemenangan, kita hilang arah dan bagai lupa segala jasa dan pengorbanan?
31. Apa yang penting, saya ingatkan sekali lagi, kita tidak ada masa lagi untuk berbalah dan berpecah belah merebut jawatan, menjatuhkan kawan dan mensabotaj perjalanan parti. Tunggu seketika bab pemilihan parti. Kalau parti ini tewas lagi, apa guna menang tetapi parti semakin hilang di hati rakyat, lebih-lebih lagi ahli-ahli akar umbi.
32. Saya percaya ini adalah Perhimpunan Agung UMNO terakhir sebelum kita berhadapan PRU15. PRU15 ini adalah satu pertempuran yang sangat penting. Mother of all battles!
33. Kita perlu bersedia untuk memasuki medan perang, mengambil kekuatan seolah-olah kita masih pembangkang. Kita harus bersedia dari segi mental bahawa kita berhadapan dengan keadaan yang serba kekurangan, terpaksa menggunakan sumber yang kecil dan terhad dalam pilihan raya akan datang.
34. Namun, itu semua bukan penghalang untuk kita mencapai kemenangan dalam PRU15. Kita mempunyai jentera yang mantap, JR dan Skuad Sayang yang akan meneruskan legasinya, dan Insya-Allah saya percaya sejak kekalahan kita pada PRU yang lalu, Wanita sudah memperbaiki gerak kerja dan modus operandinya. Dan kesilapan lalu kita telah perbaiki bersama di pelbagai siri PRK yang telah kita menang, bergaya.
35. Bersama-sama saya, kita bergerak maju menuju ke hadapan. Di pentas hari ini kita bersatu, berbincang dan bermuhasabah – membina pasak perjuangan, menguatkan benteng pertahanan, mengukuh lagi strategi serangan. Kita rangka, kita susun langkah sebaiknya, agar akar yang wujud ini, bisa meresap, dan menatijahkan kejayaan.
PEMANTAPAN JENTERA
Para perwakilan sekalian,
36. Sepanjang tiga tahun ini, banyak kejayaan telah kita capai, banyak pembaharuan telah kita lakukan. Penjenamaan semula Skuad Sayang 3K, Jalinan Rakyat 2.0, pengkaderan dan latihan serta pelbagai lagi yang telah kita sama-sama rencanakan, demi kelangsungan pengukuhan peranan Wanita, dalam kita menuju kemenangan Barisan Nasional di masa hadapan.
37. Ini merupakan sebahagian usaha berterusan Wanita UMNO, menambah baik gerak kerja seperti mana yang saya gariskan pada Perhimpunan Wanita UMNO yang lalu. Sejak daripada berakhirnya ucapan saya yang lalu, saya lihat Wanita bergerak pantas, memperbaiki gerak kerja. Syabas dan tahniah saya ucapkan! Teruskan usaha ini, kerana tanpa wanita, pengukuhan dan pemerkasaan parti tidak dapat berjalan dengan sempurna.
38. Pun begitu, kita tidak boleh terus mendabik dada. Perjalanan kita masih jauh. Walaupun banyak kejayaan telah kita capai, tetapi banyak lagi perkara yang harus kita gapai. Nasib kita dalam PRU15 belum tentu lagi. Nasib kita dalam membela anak bangsa belum ada kesudahannya. Berjuanglah, dan terus berjuang!
39. Pastinya, Wanita UMNO perlu sentiasa meningkatkan keberkesanan program-program khususnya Jalinan Rakyat (JR) dan Skuad Sayang 3K yang menjadi platform utama untuk menghadapi PRU15. Jaringan yang kita ada kini – di atas platform 191 perlu diperhebatkan.
40. Inilah kekuatan kita. Parti-parti lain sentiasa rasa cemburu dengan kita. JR ini amat penting kerana kitalah yang faham tentang latar belakang pengundi di kawasan kita. Tetapi pendekatan dan pemikiran JR perlu berubah seiring dengan keadaan sekarang. Kita perlu menggunakan apa juga cara yang ada untuk lebih rapat dengan rakyat terutamanya melalui aplikasi media sosial.
41. Sehubungan dengan itu, JR memerlukan perancangan strategik yang lengkap dan menyeluruh agar kita dapat menarik pengundi ini. Beberapa rangka kerja perlu diambil perhatian secara tuntas.
42. Ini termasuklah memikirkan cara-cara terbaik dalam mencari pengundi, merayu undi, mengendalikan sistem yang ada, melengkapkan call centre, langkah baharu memancing pengundi luar dan apa jua sahaja cara dalam memastikan kita dapat undi untuk calon kita di Bahagian masing-masing.
43. Kepada wakil-wakil Majlis Kerja Tertinggi yang ada bersama dengan kita di dalam dewan ini, anggota JR kami bekerja siang dan malam. Merisikokan diri disepanjang tempoh berkempen, di tepi jalan, dikampung-kampung. Pernah juga terlibat dengan kemalangan, gangguan dan provokasi.
44. Oleh itu, atas dasar prihatin terhadap sumbangan dan pengorbanan JR selama ini demi perjuangan parti, saya ingin mencadangkan kepada kepimpinan parti untuk mempertimbangkan supaya setiap seorang mereka ini dilindungi dengan skim insurans kelompok.
Puan-puan, rakan-rakan seperjuangan wanita sekalian,
45. Saya sebak melihat semangat dan jiwa perjuangan puan-puan. Tetapi dalam masa yang sama khuatir kerana sejarah telah membuktikan, sehebat mana, sekuat mana, sejiwa mana kita dengan perjuangan UMNO ini, akhirnya PRU14 lalu, anak-anak kita, tidak bersama dengan kita.
46. Adakah kita hendak biarkan peristiwa ini berulang? Adakah kita hendak membiarkan pisang berbuah dua kali? Adakah kita hendak membiarkan kesilapan ini, terus menjadi kesilapan dan mimpi ngeri?
47. Justeru saya minta, hari ini kita perlu kembali bermula daripada rumah sendiri. Pastikan anak-anak dan waris-waris kita, bersama dan mengundi kita. Ingat! Anda Wanita luar biasa! Maka, gerak kerja juga perlu luar biasa!
EKONOMI RAKYAT
Sidang perwakilan sekalian,
48. Alhamdulillah, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah bermula sejak Februari. Namun, kita masih belum berada dalam keadaan selamat. Ianya memerlukan masa untuk kita berada pada tahap Imunisasi Kelompok. Ayuh! Para perwakilan dan wanita-wanita UMNO di luar sana! Daftarlah sebagai sukarelawan MyVAC dan bantu petugas barisan hadapan dalam urusan suntikan vaksin COVID-19.
49. Kita juga sedar, bahawasanya pandemik COVID-19 memberi kesan yang besar dalam kehidupan seharian rakyat. Dalam hal ini, saya menyeru kepada para perwakilan dan Wanita UMNO di luar sana untuk terus mempergiatkan usaha membantu rakyat terutamanya mereka yang terkesan dengan wabak ini.
50. Wanita UMNO perlu terus bergerak menjadi denyut nadi rakyat. Kita perlu tunjukkan dan memberi harapan kepada rakyat di luar sana bahawa UMNO sangat prihatin dengan musibah yang menimpa mereka. Kitalah barisan hadapan!
51. Jika kita tengok kepada survey yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pada tahun 2020, sejak negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac tahun lalu, jumlah penggunaan internet untuk tujuan pembelian secara dalam talian ialah 64 peratus. Angka ini sebenarnya meningkat sebanyak 10.9 peratus berbanding tahun 2018. Rekod pengunjung platform e-Dagang pula, iaitu Shopee mencatatkan kunjungan yang tertinggi pada suku pertama tahun 2020, dengan jumlah 81.82 juta kunjungan direkodkan. Ini menunjukkan kemunculan COVID-19 benar-benar merubah kehidupan kita.
52. Apa yang saya nak sampaikan di sini ialah situasi ini merupakan satu peluang yang harus kita sambar. Kita hendaklah menjadi penggerak IKS sehingga ke peringkat akar umbi. Perniagaan secara dalam talian perlu diperkasakan seiring dengan perkembangan era digital masa kini. Justeru, saya ingin mengajak para perwakilan sekalian untuk menjadi pelopor kepada perniagaan IKS dalam talian. Wanita UMNO akan meneroka platform digital yang sesuai bagi menjayakan aspirasi ini.
MERAKYATKAN PENDIDIKAN
Sidang perwakilan sekalian,
53. Perjuangan wanita dalam pendidikan umpama lautan bergelora yang tiada hentinya. Lebih jauh kapal berlayar, lebih besar dugaan yang harus ditempuhi wanita. Dari seorang guru biasa hinggalah pensyarah wanita di universiti. Tiada apa yang mampu membayar keringat dan budi mereka mendidik anak bangsa. Dari aktivis kemanusiaan sehinggalah ke tokoh korporat, wanita tidak pernah putus asa memberikan bakti dan menabur budi agar anak cucu kita memperolehi ilmu. Begitu juga para perwakilan sekalian. Yang tidak pernah jemu menjadi nadi anak bangsa dalam memartabatkan perjuangan pendidikan.
54. Kita berhimpun demi meneruskan semangat perjuangan ibu dan pejuang wanita yang terdahulu. Semangat untuk membina bangsa yang utuh tanpa kenal erti penat dan letih. Semangat yang kita ambil dan warisi daripada Halimahton Abdul Majid, ketika ucapannya di Kuala Kangsar yang memperjuangkan hak pendidikan anak Melayu. Semangat perjuangan Tun Fatimah Hashim, Setiausaha Kaum Ibu UMNO Johor, yang berkorban harta dan keringat membuka kelas dewasa untuk membasmi masalah buta huruf di kalangan penduduk luar bandar.
55. Namun, perjuangan pendidikan untuk mewujudkan solusi yang ideal itu masih jauh. Saya di sini bukan sekadar memimpin Wanita UMNO, tetapi turut menggalas cabaran mengemudi institusi pendidikan tinggi yang mampu mencorak dan membina generasi masa hadapan. Setiap dasar dan hala tuju yang dirangka mesti memberikan manfaat kepada masyarakat. Konsep ‘Merakyatkan Pendidikan’ hendaklah diutamakan dalam memastikan idea, kemudahan dan penyampaian ilmu bukan sahaja berada di dalam ruang lingkup institusi pendidikan, malahan perlu dikongsi dan dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.
PEMERKASAAN WANITA
Sidang perwakilan sekalian,
56. Kita sudah melalui perjalanan yang panjang. Dari Jabatan Kaum Ibu, kepada Pergerakan Kaum Ibu, Pergerakan Wanita UMNO dan kini kita dikenali sebagai Wanita UMNO Malaysia.
57. Perjuangan Wanita UMNO boleh diibaratkan seperti berlian, yang terbentuk dari proses tekanan yang tinggi. Dalam bahasa Greek, berlian disebut sebagai Adamas, yang bermaksud mustahil untuk dijinakkan. Inilah sebenarnya perjuangan Wanita UMNO. Mustahil untuk ditundukkan, walau dilanda ribut dan taufan, walau dilambung badai gelora, perjuangan Wanita tetap utuh!
58. Ramai yang mengatakan anak muda adalah pewaris bangsa, mutiara masa hadapan negara. Ya, itu pastinya benar! Tetapi, Wanita sebagai ibulah yang mencorak anak muda untuk dipaksikan menjurus ke arah itu. Sebagai ibu, kita memainkan peranan penting dalam kita memimpin anak muda untuk bersama-sama menjamin masa hadapan yang lebih bermakna.
59. Hari ini, Wanita UMNO didukung oleh ahli berdaftar seramai 1.3 juta orang. Satu jumlah yang besar dan menggerunkan lawan. Dengan kekuatan ahli seramai inilah, wanita terus melakar satu demi satu pencapaian, melalui gerak kerja berimpak tinggi.
60. Wanita UMNO bukan sekadar pada Putih Mariah, Ibu Zain, Khadijah Sidek, Tan Sri Fatimah Hashim, Tan Sri Aishah Ghani, Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman, Tan Sri Rafidah Aziz dan tidak lupa Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang saya sanjungi. Terima kasih kepada Tan Sri Shahrizat yang mewariskan legasi kepimpinan yang mantap kepada kami.
61. Ketika jasa mereka tidak terbilang kepada parti dan negara, jutaan wanita Melayu lain turut menyumbang bakti kepada parti tercinta ini. Tidak terbilang barang kemas dan harta benda wanita disumbangkan untuk perjuangan parti dan perjuangan mendapatkan kemerdekaan melalui UMNO.
62. Dalam setiap kejayaan pemimpin UMNO hari ini dan dahulu, tangan-tangan wanitalah yang mengukuhkan perjuangan ini, dari bilik mesyuarat membawa ke merayu undi di bawah terik matahari. Tulang belakang manakah yang mahu disangkalkan lagi.
Perwakilan yang dikasihi,
63. Dalam Kerajaan pada hari ini, kita sudah mempunyai enam Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah di MOSTI, Dato’ Suriani di MEDAC, Dr Maziah di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Haslina di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Zurinah di Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Hajah Rosida di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Datuk Wan Suraya di Kementerian Perpaduan Negara.
64. Kesungguhan dalam memartabatkan wanita di arena kepimpinan, bukanlah satu usaha yang main-main seperti melepaskan batuk di tangga. Komitmen saya sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia, membawa iltizam dan semangat ahli-ahli wanita untuk memartabatkan wanita dalam kepimpinan telah dan sedang dilakukan.
65. Kita boleh lihat sekarang, di institusi pendidikan tinggi awam, ramai ahli akademik wanita yang telah menunjukkan kemampuan mereka memegang jawatan strategik dalam pentadbiran universiti. Pada tahun 2020 sahaja, empat wanita telah dipilih sebagai Timbalan Naib Canselor di tiga institusi pendidikan tinggi awam. Mereka ialah, Prof. Dr. Noorsaadah binti Abd Rahman (Universiti Malaya, UM); Prof. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor (Universiti Teknologi MARA); Prof. Dr. Suriani binti Abu Bakar dan Prof. Dr. Marzita binti Puteh (Universiti Pendidikan Sultan Idris). Saya telah melantik Ts. Zainab Ahmad sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) wanita pertama di negara ini.
66. Tidak terhenti di situ, saya juga telah melantik seorang tokoh wanita, yang pernah berkhidmat di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Angkasa Lepas (UNOOSA) di Vienna, Prof. Emerita Dato’ Seri Dr Mazlan Othman sebagai Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), yang berperanan melahirkan pemimpin-pemimpin mahasiswa yang berjiwa kesukarelawan.
Perwakilan yang dikasihi,
67. Wanita kini mendominasi jumlah ahli akademik di mana 56.5% daripada 31,584 ahli akademik adalah wanita. Daripada jumlah tersebut, 2,372 (48.4%) merupakan Profesor Madya dan 650 (34%) adalah bertaraf Profesor.
68. Ini menunjukkan Malaysia menuju ke landasan yang tepat dalam memperkasakan wanita di negara ini. Namun begitu, berdasarkan laporan Inter-Parliamentary Union Report 2021, Malaysia berada di kedudukan 155 dari 190 buah negara dari segi representasi politik wanita di Dewan Rakyat. Kita berkongsi tangga dengan negara Bhutan. Namun, bilangan wanita yang menjadi calon pilihan raya di Malaysia masih rendah.
69. Justeru, saya mendesak agar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita diberi peluang untuk menjadi calon dalam pilihan raya akan datang. UMNO sebagai parti yang bangun dan berdiri atas sokongan wanita sejak 1946 mesti menjadi peneraju dalam agenda ini. Parti ini bukan sahaja dibangunkan atas keringat dan perjuangan lelaki sahaja, tetapi juga air mata dan gelang emas wanita Melayu.
70. Siapa tidak kenal, Skuad Sayang yang tiada tandingannya. Tidak ada mana-mana gerakan yang sepantas Skuad Sayang. Turun, naik, redah, daki, dan namakan apa saja, demi rakyat, wanita kuburkan semua alasan. Skuad Sayang kita terus cekal bermandi hujan, bersidai panas, masuk ke setiap kampung, berlecak, berjauhan dengan anak dan suami demi mencurah bakti kepada pertiwi. Ini semua kita lakukan kerana kita mahu UMNO terus subur di hati setiap rakyat di Tanah Melayu bertuah ini.
71. Kita tidak minta harta benda dan pujian. Apa yang kita nak, agenda 30 peratus wanita dalam politik ini dilaksanakan. Justeru, saya meminta kepada kepimpinan parti untuk mempertimbangkan calon dalam kalangan wanita. Kami mempunyai calon yang layak untuk ditonjolkan sebagai wakil rakyat. Kita tidak mahu lagi dikenali sebagai kumpulan yang bergerak dibelakang tabir. Kita mahu lebih ramai Wanita diletakkan di barisan hadapan!
Lompat si katak lompat,
Lompatlah tinggi-tinggi,
Ramai sudah lelaki melompat,
Wanita kekal setia di sini.
JR ke rumah naik tangga,
Dari pagi hingga ke senja,
Ketika menang kita bangga,
Ketika tewas Wanita UMNO kekal setia.
72. Wanita-wanita ini setia, susah untuk lompat parti. Yang melompat ini majoritinya lelaki. Saya minta sangatlah kepada presiden parti, tengok-tengoklah wanita ini.
PENUTUP
Para Perwakilan yang saya hormati sekalian,
73. Jika kita singkap semula helaian demi helaian, sudah banyak cerita yang kita tulis. Dari gelak ketawa, rasa gembira sehinggalah rasa sedih dan berduka cita. Pengorbanan wanita sebagai tulang belakang parti, di saat duka dan payah, sudah pasti menjadi pedoman kita di hari mendatang selepas ini.
74. Sebab itu saya hendak beritahu, saya tahu, saya sedar bahawa wanita-wanita di hadapan saya ini telah banyak berkorban. Pengorbanan masa, wang ringgit, keluarga, itu hakikatnya. Tidak ada orang yang boleh ketepikan cerita ini. Ini sejarah yang sudah terbukti. Ini pedoman buat parti. Saya yakin, semua tangisan yang telah terjurai selama ini, akan kembali membawa sinar yang hakiki.
75. Saya tetap yakin, bahawa wanita akan terus menjadi wadah perjuangan parti, menjadi tulang belakang kepada kebangkitan dalam pilihan raya umum akan datang! Wanita UMNO akan terus berkorban demi perjuangan yang setia ini! Sebagai nakhoda Wanita UMNO Malaysia, saya, Noraini Ahmad dan seluruh saf kepimpinan Wanita UMNO Malaysia berikrar, untuk setia bersama parti dan sanggup mengorbankan apa jua kedudukan, pangkat untuk membuktikan kesetiaan kami kepada perjuangan parti keramat ini!
Hidup Wanita!!!
Hidup Wanita!!!
Hidup UMNO!!!
Hidup UMNO!!!
Wabillahittaufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatukh
Sekian dan selamat bersidang!