Hormati Tugas & Tanggungjawab Anggota Keselamatan Demi Kesejahteraan Rakyat – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 1 Apr – Hormatlah anggota keselamatan negara yang hanya melaksanakan tanggungjawab dan amanah demi kesejahteraan rakyat.
Demikian penegasan yang diberikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran di Facebook, mengulas mengenai seorang individu yang ditahan pihak berkuasa atas tindakan memaki dan menghina anggota pasukan keselamatan yang membuat sekatan jalan raya di Petaling Jaya, Selangor semalam.
“Dalam senario kegawatan yang memang cukup memberikan kesan tekanan psikologi kepada semua, kita harus kekal tenang dan sama-sama berganding bahu melawan wabak pandemik COVID-19 dengan patuhi segala peraturan dan perintah yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya yang turut tinggalkan tanda pagar #KekalTenangDiRumah, #DudukRumah dan #StayHome.
Untuk rekod, hari ini bermula fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sehingga 14 April nanti manakala terdahulu pada 18 Mac dan berakhir semalam.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata PKP fasa kedua akan diperketatkan.
Katanya juga bermula hari ini semua premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian termasuk pasar raya, stesen minyak, gerai dan restoran serta perkhidmatan penghantaran makanan dalam tempoh fasa kedua hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 8.00 malam.
Ini semua terpaksa dilakukan demi kebaikan rakyat Malaysia sendiri dan untuk membendung ledakan gelombang ketiga COVID-19. – UMNO ONLINE