Penderhakaan Tony Pua Sudah Melampaui Batas – Shaiful Hazizy
KUALA LUMPUR, 9 Okt – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berpandangan bahawa penderhakaan Penasihat Dasar kepada Setiausaha Agung Dap, Tony Pua sudah melampaui batas.
Ini kerana katanya, kenyataan Tony Pua yang secara terbuka mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong sangat berbahaya dan mampu mengganggu-gugat kestabilan negara.

“Tony Pua baru-baru ini mengeluarkan satu kenyataan yang pada pandangan saya sangat berbahaya dan mampu menggugat kestabilan negara.
“Sebelum ini, beliau secara terbuka mempertikaikan arahan dan kenyataan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Selangor. Kali ini, beliau mempertikaikan pula hak KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu kuasa untuk memberikan pengampunan dan meringankan hukuman.
“Apa yang dikatakan oleh beliau? Katanya, Yang di-Pertuan Agong sepatutnya bertindak berdasarkan nasihat dan pandangan kerajaan,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok memaklumkan bahawa Tony Pua turut mendesak agar minit mesyuarat Lembaga Pengampunan didedahkan kepada umum.
“Pada pandangan saya, tindakan ini merupakan satu bentuk pengkhianatan dan penderhakaan yang melampau. Kenyataan seperti ini yang dibuat oleh wakil daripada Dap bukanlah berlaku sekali, tetapi sudah dua kali.
“Saya ingin menjelaskan kepada semua bahawa kuasa pengampunan merupakan antara kuasa yang diperuntukkan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan tanggungjawab Baginda sebagai Ketua Utama Negara.
“Terdapat juga kuasa dan tanggungjawab lain yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan, termasuk yang berkaitan dengan pelantikan Perdana Menteri dan pembubaran Parlimen. Oleh itu, tindakan mempertikaikan perkara ini merupakan satu bentuk penderhakaan yang melampau dan tidak boleh diterima,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan segera kerana perkara tersebut sudah melampaui batas.
“Apa yang menghairankan saya, mengapa tiada tindakan daripada kerajaan? Siasatan pun tidak dijalankan, malah beliau juga tidak dipanggil untuk disoal berhubung kenyataan tersebut.
“Kali ini, kenyataan yang dibuat sudah melampaui batas dan merupakan sesuatu yang tidak boleh kita terima. Beliau seolah-olah mahu Yang di-Pertuan Agong bertindak semata-mata berdasarkan nasihat kerajaan, sehingga menggambarkan seolah-olah Baginda tidak mempunyai kuasa tersendiri dalam hal pengampunan.
“Justeru, saya memohon supaya kerajaan mengambil tindakan segera kerana kenyataan dan tindakan yang disifatkan sebagai penderhakaan ini sudah melampaui garis merah yang tidak boleh kita terima,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan ahli perniagaan kontroversi Albert Tei menggesa polis menyiasat Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung dakwaan mencabar kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong dalam isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
Albert berkata laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Putrajaya selepas mendakwa menemui kandungan audio siar ataupun podcast berdurasi 50 minit 28 saat yang disiarkan menerusi Facebook milik Teo Nie Ching.
Menurutnya, podcast berkenaan dikendalikan oleh Teo yang juga Naib Pengerusi Dap bersama Tony dengan kandungannya didakwa menyentuh isu pengampunan Najib serta kuasa prerogatif dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong. – UMNO Online
