Norliza Nasihat Orang Ramai Jaga Kesihatan Ketika Jerebu
TASEK GELUGOR, 9 Okt – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kesihatan dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan ketika ini.
Beliau berkata, orang ramai perlu mematuhi nasihat serta arahan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pencemaran udara, termasuk mengehadkan aktiviti luar terutama apabila kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.

“Ibu bapa juga perlu sentiasa peka dan ‘alert’ dengan sebarang pengumuman rasmi berkaitan keadaan jerebu, khususnya membabitkan operasi sekolah, demi memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka sentiasa terpelihara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa mengikuti perkembangan semasa dan mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi pihak berkuasa berikutan terdapat sekolah yang diarahkan tutup akibat jerebu.
Dalam program berlainan, beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) singgah di kawasan Kubang Menerong, di sini bagi menyampaikan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada dua lagi pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, maklum balas positif yang diterima daripada penerima WPP sebelum ini membuktikan bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan awal pelajar dan keluarga dalam membuat persiapan memasuki alam pengajian tinggi.
“Tahniah kepada para pelajar dan keluarga. Saya doakan agar dipermudahkan segala urusan, dikurniakan kejayaan dalam pengajian dan terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online
