Ziarah Kasih Eratkan Silaturahim, Semai Nilai Prihatin – Rahimi
PEKAN, 9 Okt – Amalan ziarah kasih bukan sahaja menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim, malah mencerminkan nilai keprihatinan, persaudaraan dan kepribadian masyarakat yang sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan insan sekeliling.
Melalui kunjungan secara bersemuka, hubungan sesama masyarakat dapat terus dipelihara, selain memberi ruang untuk bertanya khabar, berkongsi rasa serta menyampaikan sokongan moral kepada keluarga yang berdepan kehilangan insan tersayang.
Bagi Timbalan Ketua UMNO Pekan, Datuk Ahmad Rahimi Abdul Samad, amalan berkenaan turut membawa makna besar kepada keluarga yang diziarahi apabila kehadiran sahabat dan kenalan dapat memberikan semangat selain mengingatkan mereka bahawa masih ada insan yang mengambil berat terhadap keadaan dan kebajikan mereka.
“Kita meneruskan amalan ziarah kasih menerusi kunjungan ke kediaman keluarga Allahyarham Mohd Izzuddin Harmaini, mantan Ketua Pemuda Shahbandar, di Perumahan Dato’ Shahbandar.
“Kunjungan ini turut membawa makna tersendiri buat kami memandangkan Allahyarham merupakan rakan seperjuangannya ketika bersama-sama dalam Pergerakan Pemuda suatu ketika dahulu,” katanya.
Dalam kunjungan berkenaan, Rahimi turut menyantuni anak-anak Allahyarham serta mendoakan agar mereka sentiasa diberikan perlindungan, kekuatan dan ketabahan dalam meneruskan kehidupan.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan rahmat dan keampunan kepada Allahyarham serta arwah isterinya, selain memberikan ketabahan kepada keluarga yang menjaga anak-anak berkenaan.
“Amalan ziarah kasih sewajarnya terus dibudayakan kerana hubungan yang baik dalam masyarakat bukan hanya terbina ketika waktu gembira, sebaliknya turut diperkukuh melalui kehadiran dan sokongan ketika berdepan ujian kehidupan.
“Sesungguhnya, nilai sebuah ziarah bukan terletak pada tempoh kunjungan atau besar kecilnya sumbangan, tetapi pada keikhlasan untuk bertanya khabar, menghulurkan sokongan dan memastikan hubungan silaturahim terus terpelihara,” tambahnya.- UMNO Online
