Belanjawan 2027: Tak Salah Terapkan Agenda Malaysia Biru

BENTONG, 9 Okt – Agenda Malaysia Biru yang digariskan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, wajar dipertimbangkan untuk diterapkan dalam Belanjawan 2027 kerana agenda berkenaan mampu membawa manfaat kepada rakyat dan masa depan negara.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Senator Datuk Mohamad Zaini Salleh berkata, perbezaan parti politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha meneruskan dasar dan inisiatif yang baik demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, setiap perancangan pembangunan perlu dinilai berdasarkan keberkesanan dan manfaatnya, bukannya semata-mata berdasarkan parti politik yang memperkenalkannya.

Ujarnya, Belanjawan 2027 merupakan peluang untuk memperkukuh usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, menangani kos sara hidup serta merancakkan pembangunan ekonomi negara.

“Biarpun kita berlainan parti politik, namun jika sesuatu agenda atau dasar itu mampu membawa kebaikan kepada rakyat dan negara, tidak salah untuk kita menerapkannya, menambah baik pelaksanaannya dan meneruskan usaha tersebut.

“Yang penting, kita melihat kepada manfaatnya untuk rakyat dan masa depan Malaysia. Agenda Malaysia Biru mempunyai pendekatan yang boleh membantu memperkukuh ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menyediakan negara menghadapi cabaran masa depan, maka perkara itu wajar dipertimbangkan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO bulan lalu melontarkan idea Agenda Malaysia Biru dan kemudian ketika berucap pada BN Forum ke-12 di Menara Dato’ Onn pada Rabu menegaskan bahawa agenda ini bukan sekadar satu visi, sebaliknya menuntut anjakan dalam cara negara berfikir, bekerja dan mengukur kejayaan.

Justeru, Mohamad Zaini menekankan bahawa Belanjawan 2027 diharap dapat menjadi instrumen penting untuk menterjemahkan aspirasi tersebut melalui dasar yang bersasar, peruntukan yang berkesan dan pelaksanaan yang memberikan impak nyata kepada masyarakat.

“Belanjawan 2027 diharap dapat memberi perhatian kepada pembangunan modal insan, peluang pekerjaan berkualiti, penguasaan teknologi serta sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).”

Bagi Bentong katanya, tumpuan kepada pembangunan ekonomi setempat, sektor pertanian, dan usahawan kecil juga penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh masyarakat bandar serta luar bandar.

“Penerapan elemen yang bersesuaian daripada Agenda Malaysia Biru dalam Belanjawan 2027 boleh menjadi antara pendekatan untuk memperkukuh pembangunan negara, dengan keutamaan diberikan kepada keberkesanan pelaksanaan dan kepentingan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO