COVID-19: UMNO Sabah Patuh Arahan, Terus Bantu Seupaya Yang Mungkin- Ghazalie

KUALA LUMPUR, 25 Mac- Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing mengharapkan agar rakyat Malaysia di semua peringkat dapat bekerjasama dan memberikan sokongan kepada mereka yang bertugas di barisan hadapan dalam berdepan wabak COVID-19 serta mematuhi setiap arahan.

Katanya, UMNO Sabah juga tidak ketinggalan dalam memberikan bantuan sebagaimana yang dilakukan dengan memberi sumbangan makanan serta peralatan kepada pihak yang memerlukan demi untuk memastikan keselamatan rakyat apatah lagi ramai yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini.

“UMNO Sabah telah pun mengerakkan jentera bagi memberikan sumbangan makanan, peralatan dan barangan yang berkaitan kepada pihak yang berkenaan khasnya kepada pihak hospital dan pihak keselamatan yang selama ini telah menjaga kita semua.

“Kami juga menyeru sepenuhnya kepada semua ahli UMNO dan rakyat Malaysia agar mematuhi arahan kerajaan untuk duduk di rumah bagi mengekang penularan COVID-19 ini,” katanya kepada UMNO Online, hari ini.

Jelas Ghazalie lagi yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau, UMNO Sabah telah melaksanakan gerak kerja termasuk bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dengan menggerakkan pengedaran barangan keperluan seperti bekalan makanan, perubatan termasuklah topeng muka dan pembersih tangan tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan politik.

“UMNO Sabah juga akan memberikan sumbangan barangan keperluan sejumlah RM1 juta seperti yang telah dinyatakan oleh mantan Ketua UMNO Negeri Sabah.

“Melalui bantuan ini, diharapkan ia akan mengurangkan beban terutamanya mereka yang sangat-sangat memerlukan bantuan bahan makanan seperti beras, minyak masak dan gas. Semasa tempoh sukar ini, kita perlu mengetepikan perbezaan politik dan memberi bantuan kepada mereka yang sangat memerlukannya.

“Insya-Allah… UMNO Sabah selaku parti yang mendokong kebajikan dan perjuangan kepentingan rakyat akan terus membantu seupaya yang mungkin bagi meringankan beban rakyat Malaysia khasnya rakyat Sabah,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit