PH Dibarisi Menteri Yang Gagal, Ekonomi Porak-peranda Rakyat Sengsara

TANJUNG PIAI, 10 Nov – Pakatan Harapan (PH) dibarisi ramai menteri kabinet yang gagal menjalankan tugas dengan baik bagi memacu negara untuk kesejahteraan rakyat, bidas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Katanya, hanya dalam tempoh setahun lima bulan PH menyebabkan ekonomi porak-peranda, kehidupan rakyat semakin sengsara ditambah pula hutang negara semakin meningkat dan termasuklah tidak mahu menunaikan janji-janji pilihan raya.

Tambah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah itu, wujud menteri yang tidak faham dengan portfolio yang dipegang antaranya seperti Menteri Industri Utama Teresa Kok.

“Kita minta dia pergi ke luar negara untuk berkempen menjual minyak sawit seperti di China, India, Eropah.

“Yang dipromosinya Sayangi Sawitku tetapi disuruhnya orang kampung tukar sawit kepada tanam buluh, minum dua sudu satu hari supaya boleh dimanfaatkan minyak sawit.

“Harga getah turun dia kata menorehlah walaupun waktu hujan atau malam,” katanya ketika berucap di ceramah isu semasa di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tenggayon, di sini Sabtu malam.

Hadir sama Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Raffii, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Shah Headan Ayoob dan Ketua UMNO Bahagian Kimanis Datuk Mohamad Alamin.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mendedahkan di Dewan Rakyat, menteri kabinet tidak mampu menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh blok pembangkang berkaitan pengurusan ekonomi seperti ketiadaan pelaburan asing dan tindakan menjual harta negara tetapi hanya menyalahkan 1MDB dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Justeru itu ujarnya, kemenangan Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ini mampu menjadi titik mula menjadikan PH kembali sebagai pembangkang.

“Untuk meletakkan mereka menjadi pembangkang semula, Tanjung Piai menjadi titiik mula mencipta sejarah baru, lembaran baru bukan sahaja untuk UMNO di Semenjanjung tetapi juga Sabah.

“Kita tidak boleh biarkan kerajaan yang ada pada hari meneruskan pemerintahan mereka sebab kalau kita biarkan akhirnya negara ini menjadi padang jarak padang terkukur.

“Agama, Raja-raja kita dihina, institusi kehakiman diceroboh, dan pelbagai lagi yang tidak masuk akal,” katanya lagi.

Jelasnya juga, rakyat perlu melihat masa depan yang lebih baik sebagaimana UMNO dan BN telah berjaya mencorak negara ini walaupun diakui wujud kelemahan tetapi BN tidak pernah mengabaikan kesejahteraan rakyat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.