Tanjung Piai: Positif Mengatasi Sentimen Kunci Kemenangan

PILIHAN Raya kecil Tanjung Piai (PRK P165) menjadi medan ujian pertama pasca Muafakat Nasional. Apa yang pasti naratif PRK Tanjung Piai berbeza dengan PRK di Cameron Highlands dari sudut demografi, sentimen pengundi dan calon. Tiga elemen ini antara perkara teras yang menjadi perdebatan netizen khususnya di media sosial.

Menyedari sentimen semasa pengundi dan rakyat secara keseluruhannya dan kempen-kempen serta trending terkini yang dijalankan oleh individu tertentu dan NGO Islam. Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengambil kepedulian dan berterima kasih atas segala pandangan dan cadangan daripada netizen yang terdiri daripada pendokong UMNO dan PAS berkaitan dengan pemilihan calon. Ini menunjukkan rakyat cukup prihatin dengan perkembangan terkini politik tanah air. Terima kasih kepada kepimpinan PAS kerana pada peringkat awal lagi telah menyatakan persetujuan dan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) tanpa mengira siapa calon sekalipun. Inilah keiltizaman dan kerjasama yang dizahirkan atas nama Muafakat Nasional.

Bukanlah sesuatu yang mudah dalam menentukan parti dan calon yang bakal bertanding di PRK Tanjung Piai “Ditelan mati emak, diluah mati bapa”. Sejarah perjuangan, setiakawan dan pengorbanan MCA dan MIC dalam komponen Barisan Nasional (BN) adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang enteng, tetap setia bersama Barisan Nasional (BN) selepas PRU ke-14, di saat rakan-rakan komponen lain meninggalkan rumah BN. Inilah nilai sebuah persahabatan dan kesetiaan dalam perjuangan.

Tidak timbul isu siapa yang mendominasi siapa, tunduk dan akur kepada tekanan sesetengah pihak. Calon tidak diumumkan ketika pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) bukanlah satu kejanggalan walaupun ada andaian negatif oleh sesetengah pihak. Sebagai pembangkang, sewajarnya gerak kerja dan taktikal harus berubah dan berbeza dari sebelumnya. Sheikh Munir al-Ghadban menyifatkan peristiwa Hudaibiyah mengajar kita bagaimana Rasulullah SAW mengubah arah jalan dan memilih jalan yang agak sukar di antara lorong-lorong di bukit sebagai satu taktikal mengelak berlakunya pertembungan dengan tentera Quraisy. Begitu juga apabila Baginda SAW bersetuju dengan Perjanjian (Sulh) Hudaibiyah walaupun dilihat berat sebelah oleh sahabat Baginda SAW. (al-Manhaj al-Haraki Fi al-Sirah al-Nabawiyah)

Keputusan dibuat secara konsensus di meja rundingan adalah kunci kekuatan dan keutuhan Barisan Nasional (BN) semenjak penubuhannya. Konsensus, maslahah politik dan ummah diutamakan sepertimana penegasan dalam Usul Fiqh “Setiap tindakan pemimpin terhadap rakyat atau pengikutnya bersandarkan kepada kemaslahatan”. Bagi menolak dan meminimumkan kesan negatif kepada maslahah politik, Barisan Nasional (BN) secara konsensusnya bersetuju Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Penghargaan dan syabas saya ucapkan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Johor dan barisan kepimpinan UMNO Johor serta Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai yang berjiwa besar meletakkan kemaslahatan politik BN dan rakyat sebagai keutamaan mengatasi kepentingan kelompok dan individu. Dr. Majdi al-Hilali dalam kitabnya Fiqh al-Aulawiyat menyebut “sekiranya berlaku pertembungan antara dua kemudharatan, maka hendaklah dipilih mudharat yang kecil bagi mengelakkan berlakunya mudharat yang besar”. Pandangan ini disokong oleh Imam Izzuddin Abdul Salam “menolak atau menghilangkan mudarat didahulukan daripada membawa maslahah dalam konteks keadaan yang biasa. Ini kerana mudarat adalah perkara yang wajib dijauhi dan dilenyapkan”.

Justeru, kerana isu calon begitu sensitif sehingga timbul pelbagai spekulasi politik yang mencetuskan keresahan dan kecelaruan. Saya juga mengambil pendekatan Fiqh Keseimbangan (Fiqh al-Muwazanat) dan kebijaksanaan sebagai pertimbangan menentukan calon sepertimana yang digariskan oleh Dr Yusof al-Qadarawi dalam bukunya Aulawiyat al-Harakah al-Islamiah. Tiga pertimbangan teras dalam Fiqh al-Muwazanat yang perlu dititikberat iaitu:

1. Pertimbangan antara pelbagai kepentingan dan pandangan untuk menentukan keutamaan yang perlu diberikan perhatian

2. Pertimbangan antara pelbagai keburukan untuk menentukan keutamaan dalam menghindarinya.

3. Pertimbangan antara kebaikan dan keburukan untuk diambil yang baik dan ditolak yang buruk.

Bersandarkan kepada pertimbangan politik, maslahah dan mafsadat serta Fiqh al-Muwazanat sebagai sebab ‘illat’ pemilihan dan dokongan kepada calon. Ayuh! kita jadikan Muafakat Nasional sebagai platform dan gerakan massa yang mampu menolak dakyah negatif kononnya Muafakat Nasional mengenepikan kaum lain, rasis dan Taliban. Ketahanan Muafakat Nasional pasti diuji secara fizikal dan emosi di Tanjung Piai.

Dengan “track record” yang baik di Tanjong Piai sebelum ini, saya berkeyakinan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mampu merealisasikan impian dan menterjemahkan Muafakat Nasional dengan memberikan kemenangan di Tanjung Piai sebagai kesinambungan gelombang dan momentum kebangkitan daripada kemenangan yang diperolehi di tiga PRK sebelum ini. Kemenangan di Tanjung Piai akan menjadi tanda aras dan isyarat penolakan rakyat kepada kerajaan hari ini.

Penerimaan dan sokongan dengan keputusan pimpinan BN dan calon yang dipilih adalah pra syarat awal untuk kita memperolehi kemenangan. Elakkan sabotaj dan persengketaan sesama sendiri ketika berkempen. Fokus dan ketengahkan isu dan soal-soal kebajikan rakyat selain daripada memberikan penerangan terbaik kepada pengundi di Tanjung Piai. Manfaatkan semaksimum mungkin media sosial dan jangan hanya bergantung kepada pendekatan konvensional semata-mata.

Amanah dan tanggungjawab telah diserahkan kepada MCA, saya yakin dengan pengalaman dan kewibawaan Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong dan calon, Tanjung Piai akan menjadi milik BN. Sokongan tidak berbelah-bahagi UMNO, PAS dan MIC kepada calon MCA adalah terjemahan sebenar Muafakat Nasional yang perlu kita ketengahkan, pertahankan dan war-warkan kepada rakyat keseluruhannya.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#muafakatnasional
#demiummah
#akhiratdidepan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.