Pemuda UMNO Johor Sokong Calon MCA, Terjemah Semangat Muafakat Nasional

TANJUNG PIAI, 30 Okt – Pemuda UMNO Johor menyambut baik keputusan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk mencalonkan kembali Datuk Seri Wee Jeck Seng daripada MCA bagi merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai dalam pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan 16 Nov nanti.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata pencalonan Datuk Seri Wee Jeck Seng menutup mulut pengkritik khususnya pihak lawan yang sebelum ini melabelkan UMNO sebagai tamak, rasis dan menyifatkan Muafakat Nasional sebagai eksklusif untuk satu kaum semata-mata.

Ternyata tegas beliau semangat Muafakat Nasional untuk semua diterjemahkan di Tanjung Piai.

“Bagi Pemuda UMNO Johor siapa saja yang dipertaruhkan pucuk pimpinan parti, jentera Pemuda akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon BN.

“Ini komitmen kami dan Pemuda akan menggerakkan seluruh jentera bagi membantu kemenangan Datuk Seri Wee Jeck Seng,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online di sini.

Pemuda UMNO Johor jelas beliau percaya keputusan ini dibuat secara konsensus atas dasar semangat kekeluargaan parti berbilang kaum dalam BN yang terjalin sejak sekian lama.

“Kami percaya keputusan ini dibuat secara hikmah dan penuh kebijaksanaan oleh pucuk pimpinan.

“Paling penting bagi Pemuda UMNO Johor dan komponen BN yang lain termasuk rakan baru kita iaitu PAS, apa yang penting adalah kemenangan BN di Tanjung Piai bagi menghantar isyarat kepada Putrajaya bahawa rakyat menolak dengan pentadbiran mereka,” ujarnya.

Justeru tambah Mohd Hairi Pemuda UMNO akan jadikan pentas PRK Tanjung Piai untuk mendedahkan satu demi satu kepincangan kerajaan Pakatan Harapan (PH), bermula dengan manifesto yang tidak dilaksanakan, rakyat tertipu dengan pelbagai janji manis sehinggalah penjualan satu demi satu aset negara sehingga mengakibatkan ekonomi merudum.

Tegasnya lagi pengundi Tanjung Piai tidak akan melihat sama ada calon itu daripada UMNO mahupun MCA, sebaliknya mereka akan melihat kepada logo BN yang diyakini dan terbukti membela nasib rakyat sejak zaman berzaman.

“Pengundi Tanjung Piai termasuk pengundi Cina akan menghantar isyarat jelas kepada Putrajaya dengan menolak PH pada PRK kali ini.

“Kita sedar PH amat memerlukan kemenangan di Tanjung Piai, namun yakinlah bahawa tiada laluan mudah buat PH di Tanjung Piai,” katanya.

Oleh itu beliau percaya pengundi di Tanjung Piai tidak akan membiarkan mereka terus ditipu PH.

“Tanjung Piai akan menjadi gelanggang kebangkitan rakyat menolak rejim PH,” ujarnya.  –UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.