Belanjawan Pahang 2027 Terima Sokongan Semua ADUN

KUANTAN, 27 Nov – Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2027 yang bertemakan “Pahang 1st: Kerajaan Prihatin, Rakyat Diutamakan” mendapat sokongan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas selesai Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 hari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sokongan sebulat suara itu mencerminkan kebersamaan dan kesepakatan semua pihak dalam memastikan agenda pembangunan negeri terus bergerak ke hadapan.

Beliau berkata, perkara lebih penting adalah memastikan setiap perancangan dan inisiatif yang digariskan dalam belanjawan berkenaan dapat dilaksanakan serta memberikan manfaat sebenar kepada rakyat.

“Saya melihat sokongan ini sebagai satu tanda kebersamaan dan kesepakatan dalam membawa agenda pembangunan negeri ke hadapan.

“Apa yang lebih penting, setiap perancangan dan inisiatif yang digariskan dalam belanjawan ini dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar buat rakyat,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas kelancaran persidangan Dewan Negeri Pahang yang berlangsung dari 20 November hingga 27 November.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan terus komited melaksanakan tanggungjawab dengan memberikan perkhidmatan terbaik demi memastikan kemakmuran Pahang dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Insya-Allah, kita akan terus bekerja, berusaha dan memberikan yang terbaik demi kemakmuran Pahang serta kesejahteraan seluruh rakyatnya,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO