ADUN Senaling Hargai Sokongan, Tekad Galas Amanah EXCO

SEREMBAN, 27 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling, Mohamad Qayyum Abd. Jalil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyampaikan ucapan tahniah serta doa bersempena pelantikannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan.

Pelantikan itu dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Beliau menyifatkan pelantikan berkenaan sebagai satu kepercayaan dan amanah besar yang perlu digalas dengan penuh komitmen, dedikasi serta rasa tanggungjawab.

“Sesungguhnya, amanah dan tanggungjawab ini merupakan satu kepercayaan besar yang akan saya galas dengan penuh komitmen dan dedikasi.

“Terima kasih atas segala sokongan, doa dan kata-kata semangat yang diberikan. Saya amat menghargai setiap sokongan yang diterima,” katanya.

Menurut beliau, kepercayaan yang diberikan itu akan menjadi pemangkin untuk terus memberikan khidmat terbaik demi memastikan kemajuan Negeri Sembilan dan kesejahteraan seluruh rakyat.

Katanya, perhatian khusus juga akan terus diberikan kepada masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling.

“Saya berharap dapat terus berkhidmat dengan sebaiknya demi kemajuan Negeri Sembilan dan kesejahteraan seluruh rakyat, khususnya masyarakat DUN Senaling,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon agar semua pihak terus mendoakan supaya dirinya diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan ketabahan dalam melaksanakan tanggungjawab baharu tersebut.

Beliau berharap amanah yang diberikan dapat dilaksanakan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO