Exco Baharu Negeri Sembilan: Mohd Zaidy Komited Pikul Amanah

SEREMBAN, 27 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir bertekad memikul amanah sebagai Exco baharu Kerajaan Negeri Sembilan dengan penuh tanggungjawab demi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan itu memerlukan kekuatan, kebijaksanaan serta kesihatan yang baik bagi memastikan amanah berkenaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Sehubungan itu, beliau memohon doa daripada semua pihak agar diberikan kekuatan untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab yang dipikul.
“Mohon terus doakan agar Allah SWT mengurniakan saya kesihatan, kekuatan dan kebijaksanaan untuk memikul amanah serta memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zaidy merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalauddin Hassan serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Exco kerajaan negeri.

Beliau turut menzahirkan penghargaan istimewa kepada seluruh pengundi dan rakyat di DUN Jeram Padang yang sentiasa memberikan sokongan, kepercayaan serta mandat kepadanya selama ini.

Menurutnya, sokongan dan kepercayaan rakyat Jeram Padang menjadi kekuatan utama untuk beliau terus bekerja, memperjuangkan kepentingan masyarakat setempat serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberikan perhatian.

“Penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga juga saya tujukan khusus kepada seluruh pengundi dan rakyat Jeram Padang. Kepercayaan serta sokongan yang diberikan selama ini amat bermakna dan menjadi amanah besar untuk saya terus berkhidmat dengan lebih baik.

“Saya tidak akan melupakan mandat yang diberikan dan akan terus berusaha membawa suara serta memperjuangkan kepentingan rakyat Jeram Padang,” katanya.

Mohd Zaidy turut merakamkan terima kasih kepada semua sahabat serta pihak yang menitipkan ucapan tahniah, doa dan kata-kata semangat susulan pelantikannya sebagai Exco baharu negeri itu.

“Alhamdulillah, ribuan terima kasih saya ucapkan kepada semua sahabat yang sudi menitipkan ucapan, doa dan kata-kata semangat. Saya amat menghargai setiap ingatan dan doa daripada sahabat-sahabat sekalian,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar segala kebaikan yang diberikan semua pihak dibalas Allah SWT dengan limpahan rahmat, rezeki dan keberkatan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO