Jangan Kompromi Pendidikan, Masa Depan Bangsa Jadi Taruhan – Mohamad Zaini
BENTONG, 27 Nov – Pendidikan perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam membina masa depan generasi muda, bukan sekadar usaha melahirkan murid yang cemerlang dalam bidang akademik, sebaliknya turut membentuk insan berilmu, berakhlak mulia, berdisiplin dan mempunyai jati diri yang kukuh.
Perkara itu ditegaskan Ahli Dewan Negara merangkap Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh ketika menyempurnakan majlis apresiasi dan kecemerlangan pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Piatu, di sini.
Menurut beliau, kejayaan sebenar dalam pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan keputusan peperiksaan atau pencapaian akademik semata-mata, tetapi perlu mengambil kira pembentukan sahsiah, nilai murni, disiplin serta keupayaan seseorang murid menghadapi cabaran kehidupan pada masa hadapan.

“Setiap anak mempunyai keistimewaan dan potensi tersendiri. Tugas kita bukan sekadar memastikan mereka memperoleh keputusan yang baik, tetapi membimbing mereka menjadi insan yang mempunyai ilmu, akhlak dan keupayaan untuk menyumbang kepada masyarakat serta negara.
“Kepada murid yang berjaya, teruskan kecemerlangan dan jangan mudah berpuas hati. Bagi yang belum menerima anugerah, jangan sesekali berputus asa kerana setiap insan mempunyai perjalanan dan waktu kejayaan yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan dalam pendidikan tidak datang dengan mudah, sebaliknya memerlukan kesungguhan, disiplin, pengorbanan dan semangat untuk terus menimba ilmu.
Justeru, murid-murid perlu memanfaatkan setiap peluang pendidikan yang tersedia, menghormati guru dan ibu bapa serta menjadikan ilmu sebagai bekalan utama untuk membina kehidupan yang lebih baik.
Mohamad Zaini turut menekankan bahawa tanggungjawab melahirkan generasi masa depan yang berkualiti bukan terletak di bahu pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan masyarakat.
“Pendidikan merupakan amanah bersama. Sekolah menyediakan asas ilmu dan membimbing anak-anak, ibu bapa pula membentuk nilai serta disiplin di rumah, manakala masyarakat berperanan mewujudkan persekitaran yang menyokong perkembangan mereka.
“Apabila semua pihak bergerak seiring, kita bukan sahaja mampu melahirkan generasi yang cemerlang, malah generasi yang bersedia memimpin dan menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Pada majlis di SK Bukit Piatu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Guru Besar, Tuan Haji Ahmad Zohdi Ishak@Sahak, wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Ahmad Eruan Adnan, Yang Dipertua PIBG, Khairul Azmi Abu Johan serta Pengerusi JPKK Kampung Bukit Piatu, Tuan Haji Jaafar Abdul Majid.
Sementara itu, pada majlis di SK Jambu Rias, beliau turut menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Apresiasi dan Kecemerlangan yang meraikan pencapaian murid dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah diri.

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah serta merakamkan penghargaan kepada barisan pentadbir, pendidik, PIBG dan ibu bapa atas komitmen berterusan dalam memastikan kecemerlangan pendidikan.
Menurutnya, usaha membangunkan pendidikan hari ini akan menentukan corak kepimpinan, kemajuan dan daya saing negara pada masa hadapan.
Beliau berharap kedua-dua sekolah terus memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing, sekali gus menjadi kebanggaan keluarga, masyarakat serta negara. – UMNO Online
