Sokongan MB Johor Semarak Program Kerohanian, Ukhuwah Diperkukuh – Azman Ismail

BAKRI, 27 Nov – Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas sokongan berterusan dalam menjayakan program-program kerohanian yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, sokongan dan komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap penganjuran aktiviti keagamaan amat bermakna dalam usaha menyemarakkan penghayatan Islam, memperkukuh ukhuwah serta membina hubungan lebih erat dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, program seumpama itu bukan sahaja menjadi wadah mengimarahkan rumah Allah, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk berhimpun, mengeratkan silaturahim dan menyuburkan nilai kebersamaan berteraskan tuntutan agama.

“Terima kasih juga kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi  atas sokongan berterusan dalam menjayakan program-program kerohanian seperti ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan Surau Al-Ulum serta seluruh penduduk yang hadir atas sambutan semarak Maghrib dan Isyak yang diadakan malam tadi serta kerjasama yang diberikan.

“Alhamdulillah… bersyukur kerana diberi kesempatan untuk bersama-sama penduduk setempat dalam mengimarahkan rumah Allah, menunaikan solat berjemaah serta mengeratkan ukhuwah dan silaturahim sesama masyarakat.

“Semoga usaha kecil ini mendapat keberkatan Allah SWT dan terus menyuburkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Mengulas lanjut kata Azman, usaha murni ini dapat diteruskan secara konsisten bagi memastikan institusi surau dan masjid terus berperanan sebagai penyautuan ummah.

“Moga ukhuwah terus terjalin, ummah terus diperkukuh dan rumah Allah sentiasa diimarahkan.

“Program seumpama ini amat bermakna dalam menyemai kecintaan kepada masjid dan surau, di samping memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat melalui pendekatan yang dekat dengan rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO