BN Selayang Prihatin, Turun Padang Bantu Mangsa Banjir Batu Arang
KUALA LUMPUR, 26 Nov – Keprihatinan terhadap nasib rakyat yang ditimpa musibah terus menjadi keutamaan Barisan Nasional (BN) Parlimen Selayang apabila Pengerusinya, Datuk Hasnal Rezua Merican, turun padang menziarahi penduduk yang terjejas akibat kejadian banjir di Batu Arang baru-baru ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang bukan sahaja meluangkan masa meninjau keadaan kawasan terjejas, malah turut menyantuni mangsa serta menyampaikan sumbangan bakul makanan bagi membantu meringankan beban mereka.

Seramai 13 orang mangsa banjir telah menerima sumbangan tersebut menerusi program yang merupakan inisiatif JKKP Batu Arang di bawah pimpinan Sdri. Farah Della, atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Della.
Menurut Datuk Hasnal Rezua, kehadiran beliau bersama barisan kepimpinan BN dan UMNO Bahagian Selayang adalah sebagai tanda keprihatinan serta solidariti terhadap masyarakat yang sedang berdepan kesukaran.
“Apabila rakyat ditimpa musibah, kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh. Kita perlu turun padang, melihat sendiri keadaan mereka dan berusaha membantu mengikut kemampuan. Mungkin sumbangan ini tidak seberapa, tetapi kita berharap ia dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh keluarga yang terjejas,” katanya.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan JKKP Batu Arang dan kepimpinan BN Parlimen Selayang dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diberi perhatian, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan dan bencana.
“Khidmat kepada rakyat bukan bermusim dan bukan hanya ketika diperlukan. Inilah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan secara berterusan, tanpa mengenal penat dan jemu. Selagi rakyat memerlukan bantuan, kita akan terus berusaha untuk hadir bersama mereka,” ujar beliau.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang, Tuan Aziz Hanifi; Setiausaha UMNO Bahagian Selayang, Azizan Buyong; serta Skuad Sayang 3K Wanita UMNO Bahagian Selayang yang diketuai Datin Renny Rahayu, bersama beberapa Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Selayang. – UMNO Online
