Berita Ini Salah! … Wan Rosdy Nafi Keluarkan Kenyataan Pembubaran DUN

KUANTAN, 26 Nov – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan sekeras-kerasnya pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang dilaporkan oleh media Arus Malaysia berhubung isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Beliau menyifatkan laporan berkenaan sebagai tidak benar dan tidak menggambarkan kenyataan sebenar yang dibuatnya ketika persidangan DUN, sebagaimana direkodkan dalam Hansard Dewan.

Menurut Wan Rosdy, berdasarkan rekod Hansard, kenyataan sebenar beliau ketika menjawab celahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man adalah:

“(ADUN CHEKA – N.04) YB DATO’ SRI HAJI TUAN IBHARIM BIN TUAN MAN Minta laluan sikit. Saya… saya dua orang dah ni Padang Tengku pun berucap, ni kita nak bubar Dewan ke Yang Berhormat Dato’ Sri. Kalau nak bubar bagitahu awallah…

(ADUN JELAI – N.02) YAB DATO’ SRI HAJI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, setakat ini belum ada apa-apa perancangan. Setakat hari ini…”

Justeru, Wan Rosdy meminta pihak media Arus Malaysia supaya segera menurunkan laporan berkenaan dan membuat pembetulan terhadap maklumat yang disiarkan.

Beliau menegaskan bahawa laporan media perlu berlandaskan fakta dan kenyataan sebenar, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan isu penting berkaitan pentadbiran negeri.

“Saya meminta media Arus Malaysia menurunkan segera berita ini dengan kadar segera dan membuat pembetulan semula pada apa yang dilaporkan.”

Beliau turut berharap pihak media berkenaan mengambil tindakan segera bagi memastikan orang ramai tidak terus menerima maklumat yang tidak tepat mengenai pendirian beliau berhubung isu pembubaran DUN Pahang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO