Nasib Pendidikan Anak Kinabatangan Jangan Terus Terabai – Naim Moktar
KUALA LUMPUR, 26 Nov – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan kelewatan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sukau dan SMK Paris di Kinabatangan yang sekian lama berdepan masalah kemudahan infrastruktur daif sehingga menjejaskan keselesaan serta kebajikan murid.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata, kelewatan kedua-dua projek berkenaan amat membimbangkan kerana melibatkan keperluan pendidikan anak-anak di kawasan luar bandar yang berhak menikmati kemudahan persekolahan lebih selamat dan kondusif.
“Lebih membimbangkan, projek ini difahamkan telah bertukar subkontraktor sebanyak enam kali oleh kontraktor utama. Saya difahamkan antara punca kelewatan ialah perubahan reka bentuk padang dan balapan, penemuan batuan keras yang memakan masa hampir 120 hari pengorekan, gangguan bekalan simen dan konkrit.
“Kemelut ini bertambah rumit apabila subkontraktor berdepan notis penamatan kerja, sedangkan permohonan lanjutan masa kontraktor utama masih belum diluluskan.
“Justeru, apakah pendirian kementerian terhadap kemelut ini. Adakah projek ini akan dilanjutkan sehingga Disember 2027 atau kontraknya ditamatkan dan ditender semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan, peringkat jawatankuasa Kementerian Pendidikan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan kelewatan projek pembinaan bangunan gantian penuh SMK Paris yang melibatkan 24 bilik darjah, meskipun projek berkenaan telah diluluskan sejak Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).
“Jangan sampai anak-anak kita masuk ke Tingkatan Satu sehinggalah tamat Tingkatan Lima, sekolah baharu mereka masih kekal sebagai janji kosong di atas kertas.
“Projek bangunan gantian penuh melibatkan 24 bilik darjah ini telah diluluskan sejak RMK10, namun terus tertangguh akibat isu tanah, kelulusan pelan pembangunan danproses tender semula,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menuntut laporan terperinci bagi kedua-dua projek ini merangkumi kemajuan fizikal semasa, punca kelewatan, prestasi kontraktor, pelan pemulihan dan tarikh siap yang muktamad.
Dalam masa sama kata Bendahari Pemuda UMNO Malaysia, memohon pembinaan jeti terapung dan pembaikan segera jambatan SK Balat, penyelarasan pembaikan jalan perhubungan, kajian pembinaan asrama dan sekolah menengah baharu di kawasan pedalaman.
“Murid di SK Balat pula terpaksa meniti jambatan usang, malah ada yang terpaksa menaiki bot menyeberangi sungai setiap hari.
“Di kawasan pedalaman seperti Inarat, ketiadaan sekolah menengah berdekatan memaksa murid menempuh perjalanan darat sehingga tiga jam setengah pergi dan balik untuk ke sekolah,” ujarnya.
Tegasnya, cabaran pendidikan di Kinabatangan bukan sekadar menyediakan bilik darjah, tetapi bagaimana hendak memastikan murid sampai ke sekolah dengan selamat. – UMNO Online
