Koko Tempatan Dipertingkat, Kurangkan Import – Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Lembaga Koko Malaysia (LKM) komited untuk meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan bagi memperkukuh rantaian bekalan industri koko negara, di samping mengurangkan kebergantungan kepada biji koko yang diimport.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata bagi mencapai sasaran tersebut, Kementerian memberikan tumpuan pendekatan utama.

“Peluasan kawasan tanaman melalui penglibatan sektor perladangan. Pemulihan kebun koko sedia ada. Program pemulihan kebun koko melibatkan kawasan tanaman seluas 2,126 hektar. Pada masa yang sama, seramai 3,295 pekebun kecil koko diberikan bantuan input pertanian bagi meningkatkan produktiviti tanaman sedia ada.

“Peningkatan produktiviti melalui penyelidikan dan teknologi. Penggunaan teknologi pertanian moden, pengurusan nutrien yang sistematik serta kaedah kawalan penyakit dan perosak yang lebih berkesan turut diberikan penekanan bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan mengurangkan kos operasi.

“Pengukuhan kerjasama antara pengeluar dengan industri pengisaran dan penghasilan biji koko premium dan produk bernilai tinggi. Selain meningkatkan kuantiti pengeluaran, Kerajaan turut memberikan perhatian kepada penghasilan biji koko premium seperti “single-origin cocoa” dan “fine-flavour cocoa” yang mempunyai potensi memperoleh harga lebih tinggi di pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata ketika menjawab persoalan dari ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin yang meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan sasaran konkrit Kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan bagi mengurangkan kebergantungan industri pengisaran kepada import, serta berapakah peratus pengurangan import yang disasarkan menjelang 2030.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia menjelaskan dengan melalui sasaran peluasan tanaman kepada 10,000 hektar menjelang 2030 serta usaha meningkatkan produktiviti.

“Kerajaan berhasrat meningkatkan sumbangan biji koko tempatan kepada keperluan industri pengisaran secara berperingkat dan matlamat Kerajaan bukan sekadar untuk mengurangkan kebergantungan kepada import, tetapi juga untuk membangunkan semula sektor huluan koko negara, meningkatkan pendapatan pekebun kecil, serta mewujudkan peluang pekerjaan serta memastikan industri koko Malaysia terus berdaya saing dan mampan,” katanya lagi.

Dalam masa sama kata Noraini lagi, Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Lembaga Koko Malaysia (LKM) komited untuk meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan bagi memperkukuh rantaian bekalan industri koko negara, di samping mengurangkan kebergantungan kepada biji koko yang diimport.

“Pada tahun 2025, jumlah pengisaran biji koko negara adalah sebanyak 294,697 tan, menjadikan Malaysia antara negara pengisar koko utama dunia. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 281 tan (0.01peratus) merupakan biji koko tempatan, manakala selebihnya, iaitu 294,416 tan (99.99peratus) merupakan biji koko yang diimport.

“Selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN2030) untuk meningkatkan hasil biji koko kering daripada 0.2 tan sehektar pada tahun 2025 kepada 0.56 tan sehektar menjelang tahun 2030, Kementerian giat melaksanakan beberapa usaha menerusi Pelan Tindakan DAKN2030 untuk meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan secara berperingkat,” jelasnya.

Tambah beliau, menerusi Program Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan dan Program Peluasan Tanaman Koko dan Hasil Koko, KPK melalui Lembaga Koko Malaysia komited untuk meningkatkan keluasan kawasan tanaman koko negara kepada 10,000 hektar menjelang tahun 2030.

“Sehingga September 2026, pencapaian tanaman baharu telah melebihi 400 hektar menjadikan jumlah keseluruhan kawasan bertanam koko adalah 6,939 hektar,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO