Abdul Razak Perkukuh Kerjasama Empat PBT Melaka

ALOR GAJAH, 24 Nov – Sesi ramah mesra dan lawatan kerja ke empat-empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Melaka menjadi langkah awal Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dalam memperkukuh kerjasama serta memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus dipertingkatkan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa merangkap ADUN Telok Mas dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, lawatan berkenaan bukan sekadar memenuhi agenda rasmi, sebaliknya menjadi ruang untuk mendekati warga kerja PBT serta memahami dengan lebih dekat peranan dan tanggungjawab mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Menurutnya, sesi pertemuan secara langsung itu penting bagi membina hubungan kerja yang lebih erat antara kepimpinan kerajaan negeri dengan pihak pengurusan dan warga kerja PBT.

Beliau berkata demikian selepas mengakhiri lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) petang ini, sekali gus melengkapkan sesi ramah mesra bersama keempat-empat PBT di seluruh negeri Melaka.

“Lawatan ini bukan pengakhiran tetapi permulaan kepada kita dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat Melaka,” katanya.

Terdahulu, beliau turut meneruskan siri lawatan kerja rasmi dengan mengadakan perjumpaan bersama pengurusan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di Vista Alamanda.

Siri lawatan berkenaan mencerminkan komitmen beliau untuk mendekati setiap PBT, memperkukuh hubungan serta menyelaras usaha ke arah pentadbiran kerajaan tempatan yang lebih cekap, responsif dan berkesan.

Pendekatan turun padang ini diharap dapat menjadi asas kepada kerjasama lebih erat dalam memastikan setiap keperluan dan kepentingan rakyat Melaka terus diberikan perhatian. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO