Mangsa Banjir Jadi Keutamaan, Skuad Sayang 3K Salur Sumbangan – Hisham Suhaily
KUALA LUMPUR, 23 Nov – Keprihatinan terhadap nasib mangsa banjir terus menjadi keutamaan Wanita UMNO Malaysia apabila menerusi Skuad Sayang 3K Kebangsaan dan Sekretariat Tugas-Tugas Khas, sumbangan disalurkan kepada empat negeri yang terjejas akibat bencana itu baru-baru ini.
Komandan Skuad Sayang 3K Kebangsaan, Hisham Suhaily Othman berkata, inisiatif berkenaan merupakan manifestasi keprihatinan dan tanggungjawab sosial Wanita UMNO Malaysia dalam membantu meringankan beban keluarga yang terkesan akibat banjir.
Menurutnya, bantuan yang disalurkan diharap dapat memenuhi sebahagian keperluan asas mangsa, khususnya keluarga yang sedang berdepan kesukaran untuk meneruskan kehidupan selepas dilanda bencana.
“Wanita UMNO Malaysia melalui Skuad Sayang 3K Kebangsaan dan Sekretariat Tugas-Tugas Khas menyampaikan sumbangan kepada negeri Selangor, Melaka, Kedah dan Perak yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
“Wanita UMNO Malaysia menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa banjir dan merakamkan penghargaan kepada petugas serta sukarelawan yang membantu di kawasan terjejas.
“Sumbangan disampaikan oleh Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, dalam satu majlis di Ibu Pejabat Wanita UMNO Malaysia. Turut bersama ialah Komandan Skuad Sayang 3K Kebangsaan, Hisham Suhaily Othman, dan Pengerusi Sekretariat Tugas-Tugas Khas Wanita UMNO Malaysia, Datuk Waheedah Faruz,” katanya.
Menerusi sumbangan tersebut, Skuad Sayang 3K Kebangsaan menyumbangkan sebanyak 30 kotak makanan bagi meringankan beban mangsa banjir.
“Skuad Sayang 3K Kebangsaan menyumbang 30 kotak makanan, manakala Sekretariat Tugas-Tugas Khas menyumbang 30 bantal dan toto bagi setiap Negeri.
“Sumbangan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban keluarga yang terjejas, selain menjadi tanda solidariti Wanita UMNO Malaysia terhadap keluarga yang sedang berhadapan ujian bencana alam,” katanya lagi.
Keprihatinan dan semangat kesukarelawanan itu membuktikan bahawa tanggungjawab membantu rakyat tidak terhenti ketika keadaan aman, sebaliknya terus digerakkan ketika masyarakat berdepan saat-saat sukar, ujarnya. – UMNO Online
