10,000 Rohingya Bakal Ditempatkan Di Türkiye – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Seramai 10,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia bakal ditempatkan di Türkiye menerusi satu program latihan kemahiran berstruktur selepas cadangan berhubung inisiatif itu dipersetujui Jemaah Menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada pendekatan strategik kerajaan untuk menangani isu keberadaan pelarian Rohingya di Malaysia secara lebih tersusun, berkesan dan berperikemanusiaan.

Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan susulan lawatan kerja rasmi beliau ke Republik Türkiye baru-baru ini, dengan persetujuan kerajaan negara berkenaan menerima 10,000 pelarian Rohingya disifatkan sebagai perkembangan positif dalam mencari penyelesaian jangka panjang.

“Persetujuan Kerajaan Türkiye untuk menerima 10,000 pelarian Rohingya ini merupakan satu perkembangan yang amat positif dalam usaha Kerajaan Malaysia mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya yang sekian lama menjadi antara cabaran pengurusan migrasi dan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan media.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing (JKKPA) berkata, inisiatif itu bukan sekadar memindahkan pelarian ke negara ketiga, sebaliknya memberi mereka peluang membina kehidupan baharu menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurutnya, program latihan selama tiga hingga enam bulan itu akan menawarkan bidang kemahiran yang diselaraskan mengikut keperluan sebenar pelbagai sektor industri di Türkiye.

Katanya, pelarian yang terlibat akan dibekalkan dengan kemahiran praktikal serta kompetensi pekerjaan bersesuaian bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dan membuka peluang menyertai pasaran pekerjaan di negara penerima, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa.

“Melalui pendekatan ini, pelarian Rohingya yang terlibat akan dibekalkan dengan kemahiran praktikal dan kompetensi pekerjaan yang relevan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka serta membuka peluang untuk menyertai pasaran pekerjaan dan menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara penerima,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan turut selari dengan semangat penyelesaian jangka panjang yang digariskan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), khususnya melalui penempatan semula di negara ketiga dengan mengambil kira aspek keselamatan, perlindungan, maruah dan masa depan pelarian.

Ahmad Zahid menegaskan, isu pelarian tidak seharusnya ditangani hanya daripada perspektif penguatkuasaan dan penghantaran keluar, sebaliknya perlu mengambil kira dimensi kemanusiaan.

“Penyelesaian isu pelarian tidak seharusnya hanya dilihat daripada perspektif penguatkuasaan dan penghantaran keluar semata-mata, tetapi juga mesti mengambil kira dimensi kemanusiaan.

“Mereka bukan sekadar dipindahkan dari sebuah negara ke negara lain, sebaliknya diberikan ilmu, kemahiran dan peluang untuk membina masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan menyelaraskan pelaksanaan inisiatif berkenaan bersama pihak berkuasa Türkiye, UNHCR serta agensi berkaitan bagi memastikan proses pemilihan, latihan, dokumentasi dan penempatan berjalan secara teratur.

Katanya, pelaksanaan program itu turut mengambil kira keperluan industri, persetujuan individu yang terlibat serta peraturan antarabangsa berkaitan.
Beliau berkata, kerjasama strategik dengan Türkiye juga membuktikan hubungan diplomatik erat antara kedua-dua negara mampu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal terhadap isu kemanusiaan yang turut memberi kesan kepada kepentingan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO