RM218.05 Juta Perkasa Belia, Sukan dan Usahawan Johor – ADUN Serom

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Peruntukan sebanyak RM218.05 juta bagi portfolio Belia dan Sukan serta Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam Belanjawan Johor 2027 mencerminkan komitmen kerajaan negeri memperkasa golongan muda, membangunkan bakat sukan serta memperluas peluang keusahawanan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Nadhirah Afiqah Datuk Abdull Rahim berkata, beliau menyambut baik pembentangan Belanjawan Johor 2027 oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi yang memperuntukkan keseluruhan RM3.07 bilion bagi menjayakan agenda pembangunan negeri.

Menurut beliau, sebanyak 45 inisiatif digariskan di bawah portfolio berkenaan bagi tahun 2027, merangkumi 35 inisiatif Belia dan Sukan serta 10 inisiatif Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Jumlah peruntukan sebanyak RM218.05 juta ini menunjukkan peningkatan 157.89 peratus berbanding RM84.55 juta pada tahun 2026, iaitu pertambahan sebanyak RM133.50 juta,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan itu turut memberi ruang kepada usaha melahirkan lebih ramai bakat anak muda, memperkukuh ekosistem sukan menerusi agenda Johor Sport Nation 2030 (JSN2030), selain menyediakan lebih banyak peluang dan sokongan kepada usahawan serta gerakan koperasi.

Dalam masa sama, kebajikan rakyat terus diberikan perhatian melalui pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang menyasarkan penerima daripada pelbagai latar belakang masyarakat di seluruh negeri.

“Insya-Allah, dengan komitmen dan perancangan yang berterusan, kita akan terus membina Johor yang lebih maju, progresif dan sejahtera demi masa depan Bangsa Johor,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO